75 peratus wartawan Palestin terbunuh buat liputan di Gaza

75 peratus wartawan Palestin terbunuh buat liputan di Gaza

PENDUDUK meratapi kematian seorang wartawan Palestin dalam serangan Israel di Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza.-REUTERS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Lebih 75 peratus wartawan yang terbunuh di seluruh dunia sepanjang tahun lalu merupakan rakyat Palestin yang melaporkan berita terkini mengenai perang di Gaza, sekali gus menjadikan tempoh itu paling maut bagi pengamal media dalam sedekad.

Menurut Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ), pembunuhan wartawan akan menurun di seluruh dunia dari tahun ke tahun sekiranya perang berterusan ke atas Gaza ditamatkan.

“Pada Disember 2023, CPJ melaporkan lebih ramai wartawan terbunuh dalam tiga bulan pertama perang Israel-Gaza berbanding jumlah yang terkorban di satu negara sepanjang tahun,” kata organisasi itu.

Badan itu merekodkan kematian 77 wartawan dalam perang di Gaza tahun lepas semasa menjalankan tugas mereka dengan 72 daripadanya merupakan rakyat Palestin, tiga warga Lebanon dan dua warga Israel.

“Ancaman kepada wartawan tidak pernah berlaku seteruk ini.

“Apa yang perlu diingat tentang perang ini ialah wartawan Gaza satu-satunya yang boleh membuat liputan di dalam Gaza. Wartawan antarabangsa tidak dibenarkan masuk, kecuali dalam perjalanan yang sangat terkawal dan diawasi oleh tentera Israel.

“Kita bergantung sepenuhnya kepada wartawan Palestin yang mempertaruhkan nyawa mereka demi melaporkan maklumat terkini dan apa yang berlaku di sana,” jelas Presiden CPJ, Jodie Ginsberg kepada Al Jazeera.

Pada 7 Februari lalu, organisasi kebebasan akhbar yang berpangkalan di New York berkata, jumlah wartawan yang terbunuh dalam perang di Gaza meningkat kepada 85 orang.

CPJ sebelum ini mengutuk penganiayaan terhadap wartawan oleh tentera Israel dan sedang menyiasat sama ada lebih 12 wartawan yang terbunuh dalam konflik Gaza sengaja disasarkan oleh rejim Zionis dan menjadi jenayah perang.

Ginsberg turut kecewa dengan ketiadaan solidariti dan rasa simpati yang dipamerkan terhadap wartawan Palestin ketika perang berterusan di wilayah terkepung itu.

“Sifat ragu-ragu Barat untuk menunjukkan solidariti terhadap mereka yang disasarkan dan dibunuh di Gaza amat menyedihkan namun tidak mengejutkan kerana sifat berat sebelah mereka kepada Israel.

“Justeru, saya fikir adalah sangat penting untuk kita memberitahu rakan sekerja kita di dalam Gaza dan juga di rantau ini bahawa kita sentiasa bersama menyokong mereka, demi memastikan kebebasan akhbar dan wartawan dilindungi bukan sahaja pada saat genting di Gaza tetapi juga secara global,” tegasnya.

Laporan CPJ menunjukkan angka kematian 99 wartawan yang terbunuh dari Januari tahun lalu sehingga kini adalah tertinggi sejak 2015, peningkatan hampir 44 peratus daripada angka yang dicatatkan pada 2022.

Wartawan yang bekerja di kawasan konflik sepatutnya dilindungi di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa tetapi Israel dilaporkan berulang kali melanggar perintah itu dengan menyasarkan pekerja media.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×