NAM digesa lebih lantang pertahan Gaza

NAM digesa lebih lantang pertahan Gaza

KEPULAN asap akibat bedilan bom tentera Israel di lihat di ruang udara bandar Khan Yunis di selatan Semenanjung Gaza.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPALA: Duta Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) lebih lantang bersuara mengenai isu Gaza dengan memberi tekanan kepada Israel untuk melaksanakan gencatan senjata selepas 100 hari pertempuran dengan pejuang Palestin.

GESA GENCATAN SENJATA

Dalam ucapannya di hadapan 120 wakil negara anggota yang menghadiri sidang kemuncak minggu ini, Rayid Mansour berkata, walaupun terdapat resolusi daripada Perhimpunan Agung PBB dan Majlis Keselamatan, gencatan senjata tetap sukar dilaksanakan.

NAM yang dibentuk ketika keruntuhan sistem penjajah dan pada kemuncak Perang Dingin, memainkan peranan penting dalam proses dekolonisasi.

“Kami masih di bawah penjajahan Israel dan kami melihat pembunuhan beramai-ramai dilakukan ke atas rakyat kami, khususnya di Semenanjung Gaza,” katanya.

Beliau berkata, rakyat Palestin berterima kasih kepada Afrika Selatan kerana memfailkan kes terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sebelum ini berkata, Israel akan meneruskan perangnya terhadap Hamas sehingga mencapai kemenangan dan rejim Zionis itu tidak akan mampu dihalang oleh sesiapa, termasuk ICJ.

Sekurang-kurangnya 30 anggota pergerakan itu dijangka menghadiri mesyuarat ketua-ketua negara pada akhir perbincangan selama seminggu. 

SERANGAN MASIH BERTERUSAN

 Israel semalam mengumumkan fasa intensif perangnya terhadap Palestin di selatan Gaza akan segera berakhir.

Kenyataan itu susulan gesaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mahu gencatan senjata kemanusiaan segera dilakukan di Gaza.

Bercakap pada sidang media, Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant berkata, fasa taktikal intensif yang dijangka berlangsung kira-kira tiga bulan di selatan Gaza akan berakhir tidak lama lagi.

Selain itu, katanya, fasa sama sudah hampir dicapai di utara Gaza dengan tentera Israel mengesahkan satu kumpulan anggota daripada empat bahagian di wilayah itu sudah menarik diri sejak Isnin lalu.

Bagaimanapun, Kabinet Israel meluluskan pindaan Bajet 2024 dengan perbelanjaan tambahan bernilai 55 bilion shekel (RM70.04 bilion) bagi menampung kos perang, sehari selepas Netanyahu menyatakan pertempuran akan terus berlanjutan selama beberapa bulan.

Rejim Zionis juga dilihat masih meningkatkan operasi serangan dan bedilan di bandar selatan Khan Yunis serta Rafah sejak beberapa minggu lalu selepas mendakwa sudah memusnahkan struktur ketenteraan Hamas di utara.

Sementara itu, PBB menjelaskan kira-kira 85 peratus penduduk Gaza meninggalkan rumah masing-masing sejak lebih tiga bulan konflik berlarutan.

Ketua PBB, Antonio Guterres mengulangi gesaan gencatan senjata kemanusiaan di Gaza bagi memastikan bantuan mencukupi sampai ke lokasi diperlukan, membantu pembebasan tawanan serta meredakan ketegangan konflik terbabit.

Israel kini berdepan tekanan antarabangsa susulan krisis kemanusiaan di Gaza dan lonjakan bilangan kematian orang awam.

Keganasan di Tebing Barat, tembakan berterusan di sempadan Israel-Lubnan serta serangan pasukan Amerika Syarikat (AS) dan kumpulan pemberontak Yaman di Laut Merah turut menimbulkan kebimbangan konflik bakal merebak ke luar Semenanjung Gaza.- AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya