Hantavirus kurang berpotensi jadi pandemik

Hantavirus kurang berpotensi jadi pandemik

Sharifa Ezat Wan Puteh
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hantavirus kurang berpotensi menjadi pandemik seperti Covid-19 kerana cara penularannya bergantung kepada haiwan pembawa khususnya tikus, manakala penularan antara manusia sangat jarang terjadi.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, Hantavirus merupakan virus daripada keluarga Hantaviridae dibawa oleh tikus pembawa yang boleh membawa virus tersebut tanpa menunjukkan sebarang penyakit dan kelihatan sihat.

“Virus tersebut dikumuhkan melalui air kencing, najis dan air liur tikus serta boleh tersebar apabila kumuhan itu diusik (contoh menyapu) atau kering sehingga menjadi partikel di udara yang kemudiannya boleh terawang dan seterusnya dihidu oleh manusia.

“Virus ini juga boleh merebak melalui sentuhan langsung terhadap badan tikus yang dijangkiti atau bahan tercemar daripadanya, contohnya ketika menyapu atau membersihkan kawasan yang tercemar akibat bangkai tikus atau sekresi tikus,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai ciri penularan Hantavirus serta perbezaannya dengan virus Covid-19.

Sebelum ini, dua penumpang yang mengalami simptom hantavirus selepas wabak tersebut dikesan di atas sebuah kapal persiaran mewah dipindahkan petugas kesihatan yang ditahan di luar pesisir Afrika Barat, menurut pihak berkuasa.

Lapor Reuters, sekitar 150 orang masih berada di atas kapal tersebut selepas sepasang suami isteri dari Belanda dan seorang lelaki Jerman dilaporkan meninggal dunia, manakala beberapa penumpang lain jatuh sakit.

Kementerian Kesihatan (KKM) juga memberi jaminan tiada rakyat Malaysia berada di dalam kapal persiaran antarabangsa yang dikaitkan dengan laporan penularan jangkitan Hantavirus.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, walaupun situasi tersebut amat terkawal dan tidak melibatkan rakyat Malaysia, KKM akan terus memantau rapi perkembangan wabak berkenaan di peringkat global serta serantau.

Beliau berkata, ia bagi memastikan kesiapsiagaan sempadan dan sistem kesihatan negara berada pada tahap tertinggi.

Menurut Dr. Sharifa Ezat, jangkitan boleh berlaku apabila virus memasuki tubuh melalui sentuhan langsung dan menjangkiti sistem mulut-usus atau melalui pernafasan manusia.

Katanya, penularan antara spesies (tikus ke manusia) adalah jarang berlaku, namun terdapat strain tertentu seperti Andes yang boleh merebak dari manusia ke manusia dan ia juga dikenali sebagai penyakit zoonotik.

“Namun, penularan manusia ke manusia ini memerlukan kontak rapat dan tidak berlaku semudah virus seperti Covid-19 yang lebih mudah merebak melalui udara antara manusia,” katanya.

Tambah Dr. Sharifa Ezat, manifestasi parah yg utama jangkitan Hantavirus adalah Hantavirus Pulmonary Syndrome (HPS) yang memberi kesan kepada paru-paru serta Hemorrhagic Fever with Renal Syndrome (HFRS) yang memberi kesan kepada buah pinggang.

Katanya, perbezaan ketara cara penularan virus itu menjadikannya kurang berpotensi menjadi punca pandemik baharu seperti Covid-19.

“Kadar kematian kes atau Case Fatality Rate (CFR) bagi Hantavirus adalah lebih tinggi berbanding Covid-19, selain masih belum terdapat vaksin khusus Hantavirus di pasaran umum.

“Jika menghidap bentuk paling berbahaya iaitu Hantavirus Pulmonary Syndrome (HPS), kadar kematian boleh mencecah 38 hingga 40 peratus. Manakala secara umumnya, kadar CFR Covid-19 kini adalah antara satu hingga dua peratus sahaja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN