JAKARTA: Menteri Pertahanan Indonesia yang menjadi calon Presiden, Prabowo Subianto, kekal mendahului tiga tinjauan simulasi pemilihan menjelang Pilihan Raya Presiden Februari 2024.
Ini adalah dapatan yang dikeluarkan pada hujung minggu oleh tinjauan pendapat berasingan oleh Kompas, Indikator Politik Indonesia dan Lembaga Survei Indonesia.
Ia menunjukkan Prabowo mendahului dengan peratusan lebih 20 mata di hadapan lawan terdekatnya.
Dapatan terbaru dikeluarkan oleh Kompas, menunjukkan Prabowo dan gandingannya yang juga anak lelaki Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi), Gibran Rakabuming, 36, memperoleh 39.3 peratus undi.
Berdasarkan tinjauan Indikator Politik Indonesia pula, sokongan terhadap Prabowo-Gibran menyaksikan peningkatan sehingga enam peratus, iaitu 45.8 peratus berbanding November.
Sokongan terhadap gandingan Prabowo-Gibran semakin meningkat merentasi semua peringkat umur termasuk Generasi X, milenium dan ‘baby boomers’,
Ia kekal konsisten dalam kalangan pengundi Islam dan bukan Islam.
Menurut data pilihan raya, sekitar 107 juta, atau lebih separuh daripada pengundi berdaftar bagi pemilihan pada Februari 2024, berumur bawah 40 tahun.
Tinjauan Kompas itu meletakkan bekas gabenor Jakarta, Anies Baswedan, sebagai saingan terdekat dengan 16.7 peratus, diikuti oleh Ganjar Pranowo dengan 15.3 peratus.
Hasil tinjauan pendapat itu sekali gus menjadi yang pertama menunjukkan Anies mengatasi Ganjar dan mencerminkan peningkatan trajektori yang ditunjukkan oleh tinjauan pendapat baru-baru ini.
Dalam tinjauan Indikator Politik Indonesia, pasangan Ganjar-Mahfud Md mencatatkan penurunan sehingga lima peratus, iaitu pada kadar 25.6 peratus, manakala pasangan Anies-Muhaimin Iskandar kekal pada 22.8 peratus.
Tinjauan dijalankan dari 23 November hingga 1 Disember secara bersemuka itu membabitkan 5,380 responden dan menggunakan kaedah persampelan rawak dengan margin ralat ±2.9 peratus dan tahap keyakinan 95 peratus.
Meskipun pilihan raya pusingan pertama masih tidak menentu, Indikator Politik Indonesia menyuarakan keyakinan bahawa kedua-dua individu terbabit akan melayakkan diri dalam pusingan seterusnya.
Sementara itu, Lembaga Survei Indonesia mendedahkan bahawa sokongan bagi Prabowo-Gibran meningkat 9.7 peratus kepada 45.6 peratus pada Disember berbanding tinjauan yang dilakukan pada Oktober.
Ganjar-Mahfud pula menduduki tempat kedua dengan 23.8 peratus, disusuli rapat oleh Anies-Muhaimin dengan 22.3 peratus.
Tinjauan yang dijalankan dari 3 hingga 5 Disember itu membabitkan 1,426 responden melalui panggilan telefon, dengan margin ralat dianggarkan sekitar 2.6 peratus pada tahap keyakinan 95 peratus.
Rakyat Indonesia akan mengundi pada 14 Februari bagi memilih pemimpin seterusnya menggantikan Jokowi, yang akan menamatkan penggal kedua dan terakhirnya pada Oktober 2024.
Keputusan itu diperoleh hanya beberapa minggu selepas kempen secara rasmi dimulakan dan perdebatan Presiden pertama, tertumpu kepada undang-undang, demokrasi dan hak asasi manusia, berlangsung pada 12 Disember.
Keputusan mahkamah Perlembagaan Negara pada Oktober yang membuka jalan kepada anak sulung Jokowi untuk bertanding dalam pilihan raya mencetuskan bantahan meluas mengenai politik dinasti dalam demokrasi ketiga terbesar di dunia itu.
Tinjauan itu dilaksanakan berikutan keputusan mahkamah berkaitan kelayakan calon yang dikritik ramai, di mana ia membenarkan Gibran, anak lelaki Jokowi yang bakal bersara, untuk menyertai Prabowo sebagai calon naib presiden.
Dengan penyertaan Gibran, Prabowo dapat memanfaatkan sokongan besar yang dimiliki Jokowi.
Menurut penganalisis, sokongan tersirat Jokowi yang mendapat penilaian lebih 80 peratus juga telah membantu meningkatkan popularitinya.