TEL AVIV: Akhbar Israel mendedahkan, lebih 5,000 tentera rejim Zionis cedera di Gaza sejak perang bermula 7 Oktober lalu, dengan hampir 2,000 secara rasmi menerima status orang kurang upaya (OKU) oleh Kementerian Pertahanan.
Menurut akhbar harian Yedioth Ahronoth, lebih 58 peratus daripada mereka yang cedera mengalami masalah serius pada tangan dan kaki sehingga memerlukan anggota tersebut dipotong.
HILANG ANGGOTA
“Lebih 5,000 askar yang cedera tiba di hospital di Israel. Lebih 2,000 diiktiraf secara rasmi oleh Kementerian Pertahanan sebagai orang kurang upaya.
“Kami tidak pernah mengalami perkara seperti ini. Lebih 58 peratus daripada mereka yang cedera yang kami terima mengalami kecederaan serius di tangan dan kaki, termasuk memerlukan amputasi.
“Kira-kira 12 peratus mengalami kecederaan dalaman melibatkan kerosakan limpa dan buah pinggang serta masalah organ dalaman lain yang pecah,” lapor akhbar itu memetik Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pemulihan Kementerian Pertahanan, Limor Luria.
Menurut Luria, kira-kira tujuh peratus anggota tentera Israel turut mengalami tekanan psikologi dan jumlah itu dikhuatiri akan meningkat dengan mendadak.
Tentera Israel mendakwa sekurang-kurangnya 420 tentera terbunuh sejak tercetusnya konflik Gaza pada 7 Oktober lalu.
HAMAS AKAN KEKAL
Sementara itu, Bekas Timbalan Ketua Turus Tentera, Yair Golan berkata, Israel tidak akan dapat menghapuskan Hamas dalam perang yang berterusan di Gaza.
Kenyataan Golan disiarkan oleh akhbar Haaretz Jumaat lalu yang turut melaporkan beliau sedang berusaha untuk menubuhkan parti Zionis berhaluan kiri yang baharu.
Golan menyifatkan Ketua Parti Perpaduan Nasional, Benny Gantz, dan Ketua Parti Yesh Atid, Yair Lapid sebagai ‘pusat ekstrem’.
“Pemerintahan Hamas tidak akan dimansuhkan, sekurang-kurangnya tidak dalam masa terdekat.
“Tekanan terhadap Hamas tidak pernah mencukupi untuk memecahkan kekuatan mereka sepenuhnya. Kerana tiada drama ketenteraan dijangka di sini, kita perlu memberi tumpuan kepada membebaskan tawanan, menghalang kemasukan bahan tempur ke Gaza dan memberikan respons kepada keperluan kemanusiaan di Semenanjung.
“Itu tidak bermakna apabila matlamat itu tercapai, kempen itu berakhir,” tambahnya.
Golan juga bercakap mengenai dakwaan bahawa tentera Israel mengawal utara Semenanjung Gaza walaupun masih menghadapi tentangan di rantau itu.
“Dua keadaan berada di latar belakang pencapaian di utara, iaitu pemindahan sebahagian besar penduduk dan memahami bahawa kebanyakan mangsa culik sudah tiada lagi di sana,” katanya.
Golan sebelum ini menyatakan Israel harus mencari penyelesaian dengan Hamas.
“Saya berkata sesuatu yang sangat mudah, iaitu kita tidak boleh kekal di mana kita berada. Idea bahawa anda membekukan sejarah dan mengubahnya menjadi status quo yang kekal sudah gagal. Teori pengurusan konflik sudah runtuh,” tegasnya.
OPERASI BANTUAN LUMPUH
Pegawai PBB berkata, usaha kemanusiaan di Gaza berada di ambang kehancuran, memaklumkan penyampaian bantuan menjadi semakin tidak menentu dan tidak boleh dipercayai.
Amaran itu dibuat ketika tentera Israel meningkatkan serangan ke atas selatan Gaza, lokasi yang menjadi tempat perlindungan beribu-ribu orang awam yang melarikan diri dari utara wilayah itu.
Bercakap kepada pemberita dalam taklimat akhbar di Geneva, Setiausaha Agung PBB bagi Hal Ehwal Kemanusiaan, Martin Griffiths menggariskan situasi yang sangat teruk di Gaza, menegaskan rancangan untuk melindungi orang awam bertukar kecoh apabila tentera Israel bergerak ke selatan.
“Kami tidak mempunyai operasi kemanusiaan di selatan Gaza yang layak dipanggil dengan nama itu lagi.
“Serangan Israel menyebabkan semua tempat tidak lagi selamat untuk orang awam di selatan Gaza. Kawasan itu sepatutnya menjadi asas kepada kemanusiaan dan memudahkan rancangan untuk melindungi orang awam dan serta memberikan bantuan kepada mereka.
“Tetapi tanpa zon selamat rancangan itu hancur sepenuhnya,” katanya.
Griffiths berkata, operasi PBB merosot kepada ‘program oportunisme’, meratapi kekurangan bekalan yang melampau dan ketidakupayaan untuk menyampaikan bantuan kepada sebahagian besar Gaza.
“Ia tidak menentu, tidak boleh dipercayai, dan terus terang, ia tidak mampan,” tegasnya.
Menurut Ketua Agensi PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di Gaza, Thomas White, kira-kira 85 peratus penduduk wilayah itu dipindahkan di tengah-tengah konflik, yang melibatkan kira-kira 1.9 juta orang.