MANILA: Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. memaklumkan ketegangan di Laut China Selatan `semakin meningkat dan bukannya berkurangan’ sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Ia sekaligus memberi amaran bahawa `China yang lebih tegas’ menimbulkan `cabaran sebenar’ kepada negara jiran Asia.
Dalam satu temubual bersama media Jepun, Marcos Jr. menekankan keperluan untuk menjalin pakatan kuat dengan sekutu berfikiran sama seperti kerjasama tiga hala antara Filipina, Jepun dan Amerika Syarikat (AS).
“Saya bimbang kita perlu menyatakan bahawa ketegangan sudah meningkat daripada berkurangan sejak beberapa bulan kebelakangan ini atau beberapa tahun lalu,” kata Marcos Jr. menerusi kenyataan akhbar.
Kenyataan akhbar itu disiarkan oleh pejabat presiden ketika Marcos Jr. menghadiri sidang kemuncak Jepun-ASEAN di Tokyo.
Kira-kira seminggu lalu, Manila dan Beijing saling membuat tuduhan berhubung isu pelanggaran kapal berhampiran beting dipertikaikan di Laut China Selatan ketika ketegangan mengenai tuntutan di laluan perairan itu semakin meningkat.
Selain Filipina, negara anggota ASEAN lain iaitu Vietnam, Indonesia, Malaysia dan Brunei menuntut beberapa bahagian Laut China Selatan yang dipertikaikan oleh China.
China menuntut hampir keseluruhan kawasan di Laut China Selatan termasuk kawasan perairan serta pulau berhampiran negara-negara jirannya.
Mahkamah Timbang Tara Tetap pada 2016 memutuskan tuntutan China tidak mempunyai asas undang-undang.
Keputusan mahkamah itu disokong AS namun ditolak oleh Beijing.
“Oleh itu, kita perlu menasihati keamanan dan meneruskan komunikasi antara negara berbeza dan semua pihak yang terlibat,” kata Marcos Jr.
Jelas pemimpin itu, cabaran dicetuskan China memerlukan `penyelesaian baharu’.
Marcos Jr. berikrar untuk mempertahankan hak negaranya di Laut China Selatan selepas isu pelanggaran kapal itu yang disifatkan Manila sebagai `peningkatan serius’. – REUTERS










