BAITULMUQADDIS: Gencatan senjata antara Hamas dan Israel berakhir semalam dengan tentera Zionis mengesahkan operasi ketenteraan di Semenanjung Gaza bersambung semula.
Koresponden AFP yang berada di wilayah itu mengesahkan perkara tersebut dengan menyatakan serangan udara dan artileri membedil Gaza.
Zionis mendakwa serangan itu dilancarkan kerana Hamas melancarkan roket ke arah Israel ketika gencatan senjata masih berlangsung.
“Disebabkan tindakan itu, kami terpaksa mulakan semula operasi ketenteraan di Gaza bagi menghapuskan Hamas,” menurut kenyataan tentera Israel.
Pengumuman itu dibuat tidak lama selepas sistem pertahanan Israel memintas dua roket tersebut.
Di dalam gaza, sejumlah dron terbang di kawasan selatan Gaza buat pertama kali sejak gencatan senjata dicapai antara kedua-dua pihak.
Pertempuran semula itu secara tidak langsung menguburkan harapan untuk melanjutkan lagi gencatan senjata yang sebelum ini menyaksikan ramai tebusan serta tahanan Palestin dibebaskan.
Gencatan senjata itu juga membolehkan lebih banyak bantuan kemanusiaan dibawa masuk ke Gaza memandangkan keadaan di wilayah itu amat kronik berikutan terlalu banyak kemusnahan.
USAHA GAGAL
Pada Khamis lalu, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken mengadakan pertemuan dengan pegawai Israel dan Palestin bagi mendesak supaya gencatan senjata dilanjutkan lagi.
Blinken turut memberi amaran sebarang operasi ketenteraan yang dimulakan kembali di Gaza perlu mengutamakan keselamatan penduduk awam terlebih dahulu.
Gencatan senjata yang dipersetujui itu ‘menghentikan sementara’ peperangan yang tercetus sejak 7 Oktober lalu selepas Hamas melancarkan serangan mengejut di wilayah Israel.
Sehubungan itu, Zionis berikrar untuk menghapuskan Hamas walau dengan cara apa sekali pun sehingga menyaksikan kemusnahan besar di Gaza dan lebih 15,000 penduduknya terbunuh.
Sepanjang gencatan senjata berlangsung selama tujuh hari, seramai 80 tebusan warga Israel dibebaskan dengan pertukaran 240 tahanan Palestin.
Selain itu, lebih 20 tebusan warga asing termasuk rakyat Thailand yang tinggal di Israel juga dibebaskan.
Semalam, enam lagi tebusan warga Israel dibebaskan oleh Hamas dengan 30 tahanan Palestin turut dibebaskan.
‘KAMI MAHU HARI KELAPAN’
Selepas mengadakan mesyuarat di Tebing Barat, Blinken memaklumkan Washington mahu melihat ‘proses itu (gencatan senjata) bersambung’.
“Kami mahu hari kelapan dan hari-hari seterusnya, tidak mahu berhenti setakat ini,” katanya.
Menurut sumber, Hamas turut menyokong lanjutan gencatan senjata dan negara pengantara, iaitu Qatar juga mencari jalan penyelesaian terbaik untuk mencapai persetujuan tersebut.
Namun, semua usaha itu tidak berjaya apabila Zionis kembali menyerang Gaza.
Zionis dengan angkuhnya menyatakan gencatan senjata yang dipersetujui sebelum ini hanyalah untuk membebaskan tebusan yang ditahan Hamas dan bukannya untuk menghentikan serangan di Gaza.
“Kami bersumpah untuk menghapuskan Hamas dan tiada apa yang akan menghentikan kami,” kata Perdana Menteri Benjamin Netanyahu selepas berjumpa Blinken.
UTAMAKAN KESELAMATAN PENDUDUK
Sementara itu, Blinken memberi amaran operasi ketenteraan yang dimulakan kembali Zionis di Gaza perlu mengutamakan kemanusiaan dan perlindungan penduduk awam bagi mengurangkan kematian.
Secara khususnya, Israel perlu menyediakan ‘kawasan di selatan dan tengah Gaza bagi membolehkan penduduk berlindung dengan selamat’.
‘SANGKAAN KAMI BENAR’
Penduduk Gaza menzahirkan kekecewaan dengan tindakan Zionis yang menyambung semula operasi ketenteraan di wilayah itu.
Mereka menyatakan, sudah tiada apa yang boleh diselamatkan di Gaza kerana semuanya sudah hancur.
“Kami sudah jangka situasi (serangan) ini akan berlaku lagi kerana Zionis tidak akan berhenti selagi semua penghuni Gaza tidak mati.
“Kami sekali lagi saksikan bom atas kepala kami dan mungkin selepas ini kami juga akan mati,” kata seorang penduduk Gaza yang enggan mendedahkan identiti.