Hari berdarah di Gaza, lebih 250 orang terkorban dalam 24 jam

Hari berdarah di Gaza, lebih 250 orang terkorban dalam 24 jam

KEPULAN asap memenuhi ruang udara di Khan Yunis, selatan Gaza ketika pengeboman berterusan Israel. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA CITY: Israel memaklumkan pasukan tenteranya terus memperhebatkan pertempuran di Gaza, dengan Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan lebih 250 rakyat tempatan terbunuh dalam tempoh 24 jam. 

Ia disifatkan sebagai satu lagi serangan berdarah ketika perang di Gaza memasuki minggu ke-12. 

Menurut kementerian kesihatan, sekurang-kurangnya 500 orang cedera dalam serangan kejam itu.

Serangan tanpa henti dilakukan oleh tentera Israel di seluruh wilayah Palestin memburukkan lagi situasi bagi orang awam.

Konflik itu meningkatkan lagi ketegangan di seluruh Asia Barat yang mana Iran baru-baru ini menuduh Israel membunuh seorang jeneral kanan Pengawal Revolusi di Syria dan berjanji untuk melakukan serangan balas.

Kementerian Kesihatan mengesahkan lebih 20,670 orang yang kebanyakan wanita dan kanak-kanak terbunuh dalam konflik di Gaza sejak 7 Oktober lalu. 

Jelas kementerian, empat serangan besar sejak Ahad lalu mengakibatkan lebih 100 orang terkorban.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikrar ‘pihaknya tidak akan berhenti selagi tidak menghapuskan Hamas sama sekali’.

Di Gaza, Kementerian Kesihatan memaklumkan sekurang-kurangnya 70 orang terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan kem pelarian Al-Maghazi pada malam Krismas.

Deretan mayat mangsa ditutupi kain putih memenuhi perkarangan hospital al-Aqsa di Deir al-Balah, tengah Gaza menjelang upacara pengebumian besar-besaran.

Seorang penduduk dari kem Al-Maghazi, Zayed Awad berkata, tiada amaran pemindahan diberikan sebelum serangan yang menyebabkan kemusnahan besar dan panik dalam kalangan penduduk. 

Tentera Israel menyatakan pihaknya akan menyiasat kejadian itu, selain mendakwa kononnya mematuhi undang-undang antarabangsa termasuk mengambil langkah untuk meminimumkan bahaya kepada orang awam.

Israel berdepan tekanan semakin meningkat daripada sekutunya untuk melindungi orang awam semasa melaksanakan operasi ketenteraannya di Gaza.

* KRISIS KEMANUSIAAN 

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan seramai 10 ahli sebuah keluarga terbunuh dalam serangan Israel di kem Jabalia, utara Gaza.

Jelas kementerian, sekurang-kurangnya 18 orang maut dalam pengeboman ke atas Khan Yunis di selatan Gaza. 

Sebelum subuh, serangan Israel ‘menyasarkan sebuah rumah’ di kawasan Al-Zuwaida di tengah-tengah Gaza, berhampiran Al-Mughazi dan membunuh sekurang-kurangnya 12 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Sebahagian besar kawasan di Gaza sudah musnah dan kira-kira 2.4 juta penduduk berdepan krisis air, makanan, bahan api dan ubat-ubatan.

Dianggarkan 1.9 juta penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal dan ramai yang melarikan diri ke selatan dan bersesak-sesak di tempat perlindungan atau khemah sementara ketika musim sejuk.

Ketua Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Filippo Grandi berkata, gencatan senjata kemanusiaan di Gaza adalah satu-satunya jalan penyelesaian.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan pihaknya mengetuai misi di hospital yang hampir tidak berfungsi di utara Gaza pada hujung minggu.

* KECAM SERANGAN KEM AL-MAGHAZI 

Sementara itu, WHO mengecam serangan udara dilakukan tentera Zionis ke atas kem pelarian Gaza.

Ketua agensi kesihatan PBB itu, Tedros Adhanom Ghebreyesus memaklumkan pihaknya mengunjungi sebuah hospital Gaza yang sedang merawat mangsa serangan Israel.

“Kami mendengar kisah menyedihkan mengenai seluruh keluarga yang terbunuh dan melihat kanak-kanak hampir mati.

“Pasukan WHO juga mendengar kisah mengerikan dikongsi oleh pekerja kesihatan dan mangsa penderitaan akibat serangan itu,” katanya. – AFP/AGENSI  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya