Genap dua bulan perang, kematian, kesedihan terus selubungi Gaza

Genap dua bulan perang, kematian, kesedihan terus selubungi Gaza

SEBUAH keluarga Palestin yang melarikan diri dari Khan Yunis mendirikan kem di Rafah berhampiran sempadan Semenanjung Gaza dengan Mesir.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Genap dua bulan peperangan Israel-Hamas menyaksikan kemusnahan besar-besar yang belum pernah berlaku di bumi Gaza dengan pengeboman berterusan di hampir seluruh wilayah itu sehingga tiada lagi kawasan yang boleh diisytihar sebagai zon selamat untuk penduduk berlindung.

Tentera Israel meneruskan pertempuran dengan Hamas di tengah-tengah bandar kedua terbesar di Semenanjung Gaza, mendesak serangan darat yang menyebabkan puluhan ribu rakyat Palestin melarikan diri ke pinggir paling selatan wilayah itu.

TIADA ZON SELAMAT

Rejim zionis juga turut mengambil kesempatan peperangan dengan Hamas untuk cuba menghapuskan penduduk Gaza dengan menghalang kumpulan bantuan daripada menghantar makanan, air dan bekalan lain.

Israel kini menyasarkan wilayah selatan yang membawa kepada pertempuran sengit di Khan Yunis selepas puas melakukan pengeboman intensif yang hampir melenyapkan sebahagian besar Gaza City dan utara wilayah itu.

Menjelang serangan itu, Israel menggesa penduduk untuk mengosongkan Khan Younis, rumah zaman kanak-kanak dua pemimpin tertinggi Hamas.

Tetapi ramai penduduk bandar itu masih kekal di kediaman mereka bersama dengan sejumlah besar rakyat Palestin yang dipindahkan dari utara Gaza kerana tidak mampu lagi untuk melarikan diri ke kawasan lebih sesak jauh di selatan.

Terputus daripada bantuan luar, orang-orang di pusat perlindungan yang dikendalikan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Khan Yunis kini mula berebut -rebut mendapatkan makanan apabila keadaan kemanusian di bandar itu makin bertambah buruk.

“Perang kebuluran sudah bermula. Ini adalah situasi paling teruk dari semua peperangan,” kata penduduk tempat perlindungan yang sudah enam kali dipindahkan, Nawraz Abu Libdeh.

PBB berkata, kira-kira 1.87 juta orang atau lebih 80 peratus daripada populasi 2.3 juta penduduk Gaza meninggalkan rumah mereka, ramai daripadanya terpaksa berpindah beberapa kali.

Hampir keseluruhan penduduk kini bersesak-sesak ke selatan dan tengah Gaza dan bergantung harap kepada jumlah bantuan yang disalurkan.

Rafah, yang biasanya menempatkan kira-kira 280,000 orang, kini dipenuhi dengan lebih 470,000 pelarian dari bahagian lain di Gaza.

NERAKA DUNIA

Di seberang sempadan, Mesir mengerahkan ribuan tentera dan mendirikan sekatan tanah untuk menghalang sebarang kemasukan besar-besaran pelarian.

Negara itu menegaskan kemasukan pelarian Gaza akan menjejaskan perjanjian damainya yang sudah berpuluh tahun dengan Israel, dan meragui rejim Zionis akan membenarkan mereka kembali ke Gaza.

Pegawai antarabangsa turut meningkatkan amaran mengenai bencana kemanusiaan yang semakin teruk.

“Rakyat Palestin di Gaza hidup dalam ketakutan yang semakin meruncing. Rakan-rakan kemanusiaan saya menyifatkan keadaan di sana sebagai neraka dunia,” kata Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Volker Türk pada sidang akhbar di Geneva.

Kempen kekejaman Israel sudah membunuh lebih 16,200 orang di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak dan mencederakan lebih 42,000.

Kementerian Kesihatan Gaza berkata, ramai lagi yang masih terperangkap di bawah runtuhan dan pihaknya tidak membezakan jumlah kematian orang awam dan kumpulan pejuang.

Dianggarkan 138 tebusan kekal di Gaza selepas lebih 100 dibebaskan semasa gencatan senjata minggu lalu.

Tentera Israel mendakwa pasukan khasnya di Khan Yunis sudah menembusi barisan pertahanan pejuang Hamas dan menyerang kedudukan mereka di pusat bandar.

Video yang dikeluarkan oleh tentera Israel menunjukkan komando dan anggotanya bergerak di tengah-tengah bunyi tembakan di jalan-jalan bandar yang berselerak dengan serpihan bangunan.

Ada yang mengambil posisi di belakang timbunan tanah, manakala yang lain menyelinap masuk ke dalam kediaman dan melepaskan tembakan keluar melalui tingkap, dengan langsir bunga berkibar di sekeliling mereka.

Hamas pula menyiarkan video yang menunjukkan pejuangnya di Shujaiya bergerak melalui lorong-lorong sempit dan bangunan yang rosak sambil melepaskan tembakan dengan bom roket ke atas kenderaan berperisai Israel.

Tetapi keupayaan berterusan Hamas untuk berperang di kawasan yang dimasuki Israel dengan kekuatan luar biasa minggu lalu menandakan usaha menghapuskan kumpulan itu sambil mengelakkan lebih banyak korban dan perpindahan besar seperti diminta Amerika Syarikat (AS) sukar dilaksanakan.

Israel menuduh Hamas menggunakan perisai manusia hingga menyebabkan jumlah korban meningkat tetapi tidak memberikan laporan terperinci mengenai serangan individunya yang meratakan seluruh blok penempatan di Gaza.

Tentera Israel mendakwa 88 anggotanya terbunuh dalam serangan darat Gaza sementara kira-kira 5,000 kumpulan pejuang terkorban tanpa menyatakan bagaimana mereka membuat pengiraan tersebut.-AP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya