WASHINGTON: Israel bersetuju menghentikan serangan selama empat jam setiap hari di utara Semenanjung Gaza bermula hari ini
Langkah itu diambil bagi membolehkan semua penduduk Palestin di bahagian tersebut berpindah secara selamat ke selatan Gaza.
Namun, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menegaskan, tiada gencatan senjata akan dilaksanakan.
Sejak lebih sebulan lalu, Biden menekan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu supaya ‘menghentikan serangan’ susulan serangan Hamas pada 7 Oktober lalu.
Tentera Israel dan pejuang Hamas kini bertempur di Gaza City di utara wilayah tersebut.
“Israel akan melaksanakan ‘pengecualian serangan’ selama empat jam setiap hari di utara Gaza dengan pengumuman akan dibuat tiga jam sebelum perkara itu dilakukan.
“Sepanjang tempoh tersebut, tiada operasi ketenteraan dilakukan dan penduduk Gaza boleh berpindah dengan selamat.
“Kami juga dimaklumkan oleh Israel bahawa ini bukan gencatan senjata dan perkara itu tidak akan berlaku buat masa ini,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS, John Kirby.










