SYDNEY: Lebih 10 juta warga Australia terjejas akibat talian internet dan telefon terputus selepas sebuah syarikat telekomunikasi utama negara itu mengalami gangguan yang tidak dapat dijelaskan.
Masalah teknikal itu melumpuhkan sistem pembayaran elektronik, mengganggu talian telefon digunakan polis dan ambulans selain menangguhkan kereta api pada waktu sibuk di selatan bandar Melbourne.
Syarikat telekomunikasi Optus berkata, pihaknya ketika ini sudah memulihkan perkhidmatan yang terjejas.
Bagaimanapun, jelas syarikat, pihaknya tidak dapat menentukan dengan tepat punca yang menyebabkan gangguan itu berlaku.
“Gangguan rangkaian teknikal dikesan pada pukul 4.05 pagi (waktu tempatan) menjejaskan pelanggan.
“Kami amat kesal dengan kejadian itu namun kini perkhidmatannya sudah dipulihkan.
“Kami tidak dapat memberikan lebih banyak maklumat sehingga melakukan siasatan yang menyeluruh,” kata ketua eksekutif Optus, Kelly Bayer Rosmarin kepada penyiar nasional ABC.
Kelly menyifatkan gangguan itu sebagai kejadian yang sangat jarang berlaku.
Malah, katanya, setakat ini, `tiada petunjuk’ menunjukkan bahawa gangguan itu disebabkan serangan siber atau penggodaman.
Kira-kira setahun lalu, data peribadi membabitkan lebih sembilan juta pelangggan Optus dicuri ketika serangan siber. – AFP