MANILA: Polis Filipina berjaya membongkar sebuah bilik tersembunyi yang dijadikan ruang penyeksaan, di pusat pelacuran yang beroperasi menggunakan lesen firma perjudian.
Operasi membabitkan pasukan petugas diselaras Kementerian Keadilan menyerbu bangunan enam tingkat yang disewa oleh syarikat Smart Web Technology (Smart Web), di ibu kota wilayah Metro Manila awal hari ini.
Lebih 700 pekerja syarikat itu, kebanyakannya warga Filipina, Cina dan Vietnam, ditahan dalam operasi berkenaan.
Pengarah Eksekutif Suruhanjaya Anti-Pertubuhan Jenayah Filipina (PAOCC),
Gilbert Cruz, berkata, polis turut menemui gari, cota, kayu besbol, rotan, ‘taser’, kayu dan senapang mainan.
“Ia dipercayai digunakan untuk menyeksa pelanggan yang menimbulkan masalah dan sekurang-kurangnya dua pekerja seks asing di pusat pelacuran berselindung di sebalik nama Smart Web.
“Ruang penyeksaan itu digunakan terhadap mereka yang tidak membayar sewa bilik pelacuran, dan langganan pelacur selain mengganggu pelacur.
“Syarikat itu juga dikesan menjalankan penipuan ‘love sam’ dan mata wang kripto,” katanya melalui taklimat media.
Pada masa sama, Cruz berkata, antara yang ditahan membabitkan sembilan pegawai eksekutif Smart Web, termasuk empat warga China dan seorang Filipina.
Katanya, mereka akan menjalani prosiding inkues atas tuduhan pemerdagangan manusia dan penyeksaan.
Rekod polis menunjukkan seorang warga China yang diselamatkan berkata dia diculik dan dijual dengan harga 500,000 peso (RM42,147).
Seorang lagi mangsa, juga warga China, berkata dia dipaksa bekerja antara 12 hingga 15 jam sehari selama lebih setahun.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Keadilan, Nicolas Felix Ty, berkata jenayah yang dikenal pasti berlaku di premis itu ialah pemerdagangan seks.
Beliau berkata, pihak berkuasa turut menemui sebuah ‘akuarium’ di premis Smart Web yang dijadikan tempat meletakkan pelacur, sebelum dipilih pelanggan untuk perkhidmatan seksual.
“Selain itu, terdapat bilik karaoke peribadi untuk perkhidmatan tambahan. Malah, terdapat pilihan perkhidmatan seksual yang berbeza,” katanya kepada pemberita.
Nicolas berkata, sebuah laman sesawang pintar yang menggunakan nama Freego Computer Gaming OPC dan Xushen Technology, memperoleh lesen untuk beroperasi sebagai ‘pengendali permainan luar pesisir Filipina’ dikenali sebagai Pogo.
Pogo dikesan berkembang pesat ketika di bawah pentadbiran bekas Presiden, Rodrigo Duterte, yang membenarkan pemain judi di China melanggannya, berikutan ia diharamkan di negara berkenaan.
Namun, sejak beberapa tahun lalu, Filipina menyaksikan gelombang jenayah berkaitan Pogo, termasuk penculikan, pemerdagangan manusia, pelacuran, pengubahan wang haram dan ‘love scam’ serta kripto.
Ia turut dikaitkan dengan penipuan lain dan pemerdagangan manusia yang dijalankan di Kemboja serta Myanmar.
Julai lalu, polis berjaya menyelamatkan hampir 3,000 pekerja termasuk empat warga Singapura, dari premis yang dikendalikan oleh Xinchuang Network Technology, sebuah lagi pengendali Pogo berlesen.
Rentetan itu, wakil kerajaan iaitu dua Senator, meminta Presiden Ferdinand Marcos Jr, supaya mengharamkan Pogo.
Senator, Risa Hontiveros, berkata Pogo bukan sahaja menjadikan Filipina sebagai ‘tiket’ untuk kegiatan jenayah mereka, sebaliknya pengendali juga berhutang sehingga berbilion peso membabitkan cukai kerajaan yang tidak dibayar. – AGENSI