GAZA: Pemimpin dunia berharap perjanjian gencatan senjata kemanusiaan di antara Israel dan Hamas dengan akan membuka jalan untuk menamatkan konflik yang berlarutan selama lebih tujuh minggu di Gaza.
Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman Al Thani berkata, beliau berharap perjanjian gencatan senjata selama empat hari di Gaza akan membawa kepada rundingan damai secara menyeluruh.
“Kami berterima kasih kepada rakan kerjasama kami kerana menyumbang kepada perjanjian gencatan senjata di Gaza yang diketuai oleh Mesir dan Washington,” tambahnya.
Sementera itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengucapkan terima kasih kepada Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al-Thani dan Presiden Mesir, Abdel-Fattah El-Sisi atas kepimpinan dan kerjasama mereka dalam mencapai perjanjian ini.
“Saya akan bercakap dengan setiap pemimpin terlibat dan kekal berhubung rapat dalam usaha memastikan perjanjian ini dijalankan secara keseluruhannya.
“Adalah penting bahawa semua aspek perjanjian ini dilaksanakan sepenuhnya.
“Perjanjian hari ini seharusnya membawa pulang ramai lagi tebusan warga AS dan saya tidak akan berhenti sehingga mereka semua dibebaskan,” kata Biden.
Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dan kepimpinannya turut mengalu-alukan perjanjian gencatan senjata kemanusiaan itu dan memperbaharui seruan untuk menghentikan pencerobohan Israel secara menyeluruh terhadap rakyat Palestin.
“Kami menyeru penghantaran bantuan kemanusiaan dan pelaksanaan penyelesaian politik berdasarkan legitimasi antarabangsa,yang membawa kepada penamatan pendudukan dengan rakyat Palestin memperoleh kebebasan, kemerdekaan dan kedaulatan mereka,” katanya menerusi laman X.
Menteri Luar Jerman, Annalena Baerbock menyifatkan perjanjian itu sebagai kejayaan dan menggesa bantuan penting dihantar ke Gaza.
“Pengumuman pembebasan kumpulan besar tebusan pertama adalah satu kejayaan walau tiada apa pun di dunia yang dapat membatalkan penderitaan mereka.
“Jeda kemanusiaan mesti digunakan untuk membawa bantuan penting kepada penduduk di Gaza,” katanya.
Semalam, Israel dan Hamas bersetuju dengan perjanjian gencatan senjata sementara dimediasi Qatar yang dijangka bermula dalam tempoh terdekat.
China turut menyambut baik usaha itu dan berharap ia akan membantu meringankan penderitaan krisis kemanusiaan, mengurangkan konflik dan meredakan ketegangan di Gaza.
Menteri Luar Perancis, Catherine Colonna turut memuji usaha Qatar dalam menjayakan perjanjian itu.
Beliau berharap warga Perancis akan menjadi antara tebusan yang bakal dibebaskan.-AFP










