Ketua CIA, Mossad jumpa PM Qatar bincang lanjut lagi gencatan senjata di Gaza - Utusan Malaysia

Ketua CIA, Mossad jumpa PM Qatar bincang lanjut lagi gencatan senjata di Gaza

TAHANAN Palestin (baju kelabu) yang dibebaskan daripada penjara Israel diarak di Betunia berhampiran Ramallah di Tebing Barat. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUBAI: Pemimpin Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat (AS) dan Mossad dari Israel bertemu dengan Perdana Menteri Qatar di Doha pada Selasa, mengenai perkembangan susulan lanjutan dua hari gencatan senjata antara Israel dan pejuang Hamas.

Sumber memberitahu Reuters, pertemuan itu adalah untuk memulakan perbincangan lanjut mengenai fasa perjanjian berpotensi yang seterusnya.

Katanya, hasil rundingan itu, yang turut dihadiri pegawai Mesir bagaimanapun tidak jelas.

Pengarah CIA, William Burns berada di Doha ‘untuk mesyuarat mengenai konflik Israel-Hamas, termasuk perbincangan berkaitan tebusan’, kata seorang pegawai AS yang enggan dikenali, namun tidak menjelaskannya secara terperinci.

Burns, Ketua Perkhidmatan Perisikan Mossad, David Barnea dan Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman al-Thani bertemu sehari selepas Qatar mengumumkan lanjutan dua hari perjanjian gencatan senjata selama empat hari di Gaza.

Qatar, yang menjadi pusat kepada beberapa pemimpin politik Hamas mengetuai rundingan antara kumpulan pejuang Palestin dan Israel.

Gencatan senjata itu adalah penangguhan pertama serangan di Semenanjung Gaza dalam tempoh tujuh minggu, di mana Israel mengebom wilayah berkenaan dengan teruk sebagai tindak balas kepada serangan Hamas pada 7 Oktober lalu, yang mengorbankan kira-kira 1,200 orang dan menawan 240 tawanan.

Israel bertekad untuk memusnahkan Hamas yang memerintah Gaza.

Pihak berkuasa kesihatan di Gaza berkata, pengeboman Israel ke atas wilayah kecil yang padat dengan penduduk setakat ini membunuh lebih 16,000 orang, dengan kira-kira 40 peratus daripadanya kanak-kanak.

​Barnea dan Burns sebelum ini berada di Qatar untuk bertemu Sheikh Mohammed pada 9 November lalu.

Dalam tempoh empat hari pertama gencatan senjata, pejuang Hamas membebaskan 50 wanita dan kanak-kanak Israel yang dijadikan tebusan.

Sebagai balasan, Israel membebaskan 150 tahanan keselamatan dari penjaranya, semuanya wanita dan remaja.

Sebagai sebahagian daripada lanjutan gencatan senjata selama dua hari, Hamas bersetuju untuk membebaskan tambahan 10 wanita dan kanak-kanak Israel setiap hari.

Setakat ini, tiada petanda Hamas akan membebaskan mana-mana lelaki atau anggota tentera Israel dalam kalangan mereka yang ditawan. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya