GAZA CITY: Tentera Israel meneruskan lagi misi kekejaman di bumi Palestin apabila bertindak membedil kem pelarian Jabalia yang menempat orang awam di utara Gaza buat kali kedua berturut-turut.
Insiden itu berlaku sehari selepas Israel melancarkan serangan udara menyasarkan kem pelarian terbesar di Semenanjung Gaza itu sehingga mengorbankan puluhan orang dan mencetuskan kecaman secara meluas.
Lapor Al Jazeera, beberapa rakaman video menunjukkan kemusnahan berlaku di kem pelarian Jabalia yang dibedil Israel untuk hari kedua berturut-turut.
Terdahulu, lebih 50 rakyat Palestin terbunuh dan 150 cedera dalam serangan udara pertama ke atas kem pelarian Jabalia.
Beberapa negara Arab mengutuk serangan udara Israel ke atas kem pelarian Jabalia antaranya Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengutuk serangan itu dan menekankan keperluan gencatan senjata segera untuk mengelakkan pertumpahan darah.
Sementara itu, BBC melaporkan Kementerian Kesihatan Gaza mengesahkan seramai 8,796 penduduk terbunuh sejak konflik itu meletus.
Jelasnya, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 271 orang berbanding angka kematian yang dilaporkan semalam iaitu seramai 8,525 orang.
Menurut kementerian, seramai 3,648 mangsa yang terbunuh di Semenanjung Gaza merupakan kanak-kanak.
Israel melancarkan serangan udara ke atas Gaza selepas serangan mengejut Hamas pada 7 Oktober lalu. – AGENSI










