GAZA: Hospital di Gaza bergelut ekoran kebanjiran pesakit yang cedera parah akibat pengeboman Israel, dengan pegawai perubatan terpaksa menyediakan bilik pembedahan tambahan di sekitar kawasan koridor.
Teater pembedahan utama dilaporkan penuh namun pakar bedah di Gaza bekerja siang dan malam untuk menyelamatkan aliran pesakit yang berterusan.
Bekalan ubat-ubatan yang semakin berkurangan, masalah bekalan elektrik dan serangan udara yang menggegarkan bangunan hospital menambah kesukaran pasukan perubatan menyelamatkan nyawa penduduk.
“Kami membuat pembedahan hanya satu jam pada satu masa kerana kami tidak tahu bila kami akan menerima pesakit.
“Beberapa kali kami terpaksa menyediakan ruang pembedahan di koridor dan kadangkala di tempat menunggu hospital,” kata doktor, Dr. Mohammed Al-Run.
Pegawai perubatan turut gusar dengan bekalan bahan api untuk generator yang sentiasa tidak mencukupi.
Keadaan hospital di utara Gaza juga amat daif selepas kawasan sekitar berulang kali dibedil tentera Israel yang mendakwa menyasarkan kubu Hamas.
Pegawai di Hospital Persahabatan Turkiye berkata, pengeboman di Jabalia turut merosakkan wad yang merawat pesakit kanser.
“Kami buntu dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Terdapat penduduk cedera di mana-mana.
“Pengeboman menyebabkan kerosakan besar dan beberapa sistem elektro-mekanikal tidak berfungsi. Ia juga membahayakan nyawa pesakit dan pasukan perubatan,” kata Pengarah Hospital Dr. Sobi Skaik.-REUTERS











