Apa lagi akan berlaku pada Palestin selepas ini?

Apa lagi akan berlaku pada Palestin selepas ini?

SEBAHAGIAN daripada penduduk Palestin meninggalkan sebuah kampung berhampiran Haifa semasa Hari Nakba pada 1948. - CORBIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Konflik Palestin-Israel sudah meragut puluhan ribu nyawa dan menyebabkan jutaan hilang tempat tinggal sejak lebih seabad lalu dengan serangan terbaharu pada 7 Oktober lalu terus meraih perhatian dunia.

Serangan yang dilakukan Hamas pada awal bulan lalu menyaksikan tentera Zionis melancarkan operasi ‘balas dendam’ besar-besaran terhadap Semenanjung Gaza sehingga mencetuskan krisis kemanusiaan terburuk ketika ini.

Pelbagai persoalan timbul mengenai konflik yang berlaku dengan antaranya, bila perang itu akan berakhir? dan adakah akan ada lagi konflik serupa pada masa akan datang?

Selama beberapa dekad juga, media Barat, ahli akademik, pakar ketenteraan dan barisan pemimpin dunia menyifatkan konflik Palestin-Israel sebagai sukar dikawal, menemukan jalan buntu dan amat rumit.

Berikut merupakan antara konflik yang melanda Palestin dengan Israel:

– Lebih 100 tahun lalu, pada 2 November 1917, Setiausaha Luar Britain ketika itu, Arthur Balfour menulis surat kepada seorang tokoh masyarakat Yahudi, Lionel Walter Rothschild.

– Surat itu memaklumkan kerajaan Britain komited menubuhkan ‘kediaman rasmi’ komuniti Yahudi di Palestin dan surat berkenaan dikenali sebagai Deklarasi Balfour.

– Pada dasarnya, kuasa Eropah ketika itu menjanjikan Zionis sebuah negara yang sudah pun dihuni lebih 90 populasi Arab.

– Mandat itu berlangsung dari 1923 sehingga 1948. Sepanjang tempoh itu, Britain memudahkan urusan imigresen Yahudi secara besar-besaran, selain menyaksikan rakyat Palestin gusar kerana tanah mereka diserahkan kepada peneroka Yahudi.

ERA 1930-AN

Pada 1936, Jawatankuasa Arab Kebangsaan menyeru penduduk Palestin supaya melancarkan boikot barangan Yahudi sebagai protes terhadap Britain dan peningkatan jumlah pendatang Yahudi di negara itu.

Boikot yang berlangsung selama enam bulan itu memberi tekanan kepada Britain sehingga menyebabkan banyak rumah penduduk Palestin dirobohkan, selain ramai ditahan.

– Pemberontakan Arab kedua berlaku setahun kemudian dan pada 1939, Britain menempatkan 30,000 tentera di Palestin.

– Britain melakukan perintah berkurung, merobohkan rumah rakyat Palestin dan membunuh mana-mana penduduk yang terus menyebarkan propaganda menolak Britain.

POPULASI YAHUDI MENINGKAT

– Menjelang 1947, jumlah populasi Yahudi meningkat 33 peratus di Palestin, namun mereka hanya ada enam peratus tanah.

– PBB kemudiannya mengusulkan Resolusi 181 yang mendesak pembahagian Palestin kepada negara Arab dan Yahudi, namun ditolak penduduk Palestin.

– Hal itu kerana 55 peratus tanah Palestin perlu diberikan kepada Yahudi, termasuk kawasan subur.

HARI NAKBA

– Pada April 1948, lebih 100 penduduk Palestin terdiri daripada lelaki, wanita dan kanak-kanak terbunuh di Deir Yassin di pinggir Baitulmuqaddis.

– Insiden itu menyaksikan komuniti Yahudi terus berani menyerang rakyat Palestin dan pada 1947 hingga 1949, lebih 500 perkampungan dan kawasan bandar Palestin dimusnahkan.

– Peristiwa itu dikenali sebagai Nakba atau malapetaka dalam bahasa Arab.

– Dianggarkan 750,000 penduduk Palestin diusir dari rumah mereka sendiri

– Pada 15 Mei 1948, Yahudi menubuhkan negara yang tidak diiktiraf, dikenali sebagai Israel.

SELEPAS NAKBA

– Sekurang-kurangnya 150,000 penduduk Palestin masih tinggal di kawasan asal mereka yang kini menjadi Israel dan pergerakan mereka dikawal ketat oleh Zionis.

– Pada 1964, Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dibentuk dan setahun kemudian, pergerakan Fatah ditubuhkan.

RAMPAS WILAYAH PALESTIN

– Pada 5 Jun 1967, Israel menguasai Semenanjung Gaza, Tebing Barat, Baitulmuqaddis Timur dan Bukit Golan di Syria.

– Pembinaan penempatan haram Yahudi dimulakan di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.

INTIFADA PERTAMA (1987-1993)

– Intifada Palestin yang pertama berlaku di Gaza pada Disember 1987 selepas empat rakyat Palestin terbunuh selepas trak Israel bertembung dengan dua van yang membawa pekerja Palestin.

– Protes merebak ke Tebing Barat dan secara tidak langsung menyaksikan penubuhan Hamas.

– Pada 1988, Liga Arab mengiktiraf PLO sebagai satu-satunya wakil rakyat Palestin.

– Intifada itu juga menyaksikan komuniti antarabangsa berusaha mencari penyelesaian berhubung konflik berkenaan.

INTIFADA KEDUA

– Intifada kedua berlaku pada 28 September 2000 apabila pemimpin pembangkang Israel, Ariel Sharon melawat Masjid al-Aqsa dengan ribuan anggota keselamatan ditempatkan di Kota Lama Baitulmuqaddis.

– Pertempuran antara penduduk Palestin dengan tentera Israel meragut lima nyawa rakyat Palestin dan lebih 200 cedera dalam tempoh dua hari.

– Sepanjang intifada itu berlangsung, Israel memusnahkan semua infrastruktur dan ekonomi Palestin sehingga lumpuh.

– Zionis juga memperluaskan pembinaan penempatan haram Yahudi di bumi Palestin.

GAZA DIKEPUNG

– Pemimpin PLO, Yasser Arafat meninggal dunia pada 2004 dan setahun kemudian, intifada kedua berakhir dan 9,000 tentera Zionis meninggalkan Gaza.

– Pilihan raya Palestin menyaksikan Hamas menang majoriti, namun tidak sebulu dengan Fatah, menyebabkan pergerakan itu diusir dari Gaza.

– Pihak Berkuasa Palestin (PA) pula bertanggungjawab mentadbir Tebing Barat dan pada 2007, Israel melaksanakan sekatan udara, air dan darat di Semenanjung Gaza, selain menuduh hamas sebagai kumpulan pengganas.

PERANG GAZA-ISRAEL

– Perang antara Hamas dengan israel di Gaza berlangsung pada 2008, 2012, 2014 dan 2021, menyaksikan puluhan ribu penduduk Palestin terbunuh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN