GAZA: ‘Situasi amat menakutkan, kami terperangkap dengan jiwa kecil yang tidak berdosa di dalam kami, kami tidak tahu nasib kami kelak’
Itu adalah luahan seorang wanita hamil tujuh bulan, Noor Odeh mengenai situasi genting di Semenanjung Gaza ketika ini.
Serangan demi serangan yang dilancarkan tentera Zionis di wilayah itu mencetuskan krisis kemanusiaan terburuk, terutamanya untuk golongan wanita, kanak-kanak dan warga emas.
Hampir semua wanita hamil di Gaza tidak mendapat rawatan dan perhatian yang sewajarnya sejak 7 Oktober lalu.
Noor yang berpindah dari utara Gaza ke Khan Yonis di bahagian selatan memberitahu, dia berasa amat penat secara fizikal dan mental, selain takut kehilangan bayi dalam kandungannya.
“Kami tinggalkan rumah tanpa membawa semua barangan penting, kami hidup dalam keadaan ketakutan hampir setiap masa.
“Emosi seperti itu mempengaruhi saya dan bayi dalam kandungan, malah bukan saya sahaja, semua kaum ibu di bumi Gaza akan rasa seperti itu.
“Saya sudah tidak dapat hubungi doktor saya, dan lebih menakutkan, saya tidak rasa gerakan bayi sejak beberapa hari lalu, adakah dia masih hidup? Adakah saya sempat lihat dia nanti? Soalnya.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan terdapat 540,000 wanita dalam usia subur di Gaza dengan 50,000 daripadanya kini hamil dan 5,500 lagi dijangka bersalin bulan ini.
Agensi itu juga memberi amaran, dengan ketiadaan akses perubatan yang lengkap, tidak mustahil jika wanita yang hampir melahirkan secara pembedahan terpaksa menjalaninya tanpa bius.
Selain itu, ramai juga wanita hamil yang mengalami keguguran sejak serangan Zionis pada 7 Oktober lalu.
“Sejak konflik bermula, ramai wanita hamil kekurangan nutrisi, mereka jatuh sakit malah ada yang sampai keguguran.
“Mereka kehilangan anak yang dikandung dalam keadaan amat perit dan ada yang tidak sempat menatap wajah bayi mereka,” ujar bidan Haneen Ashour.