PETALING JAYA: Pro-Net, anak syarikat Proton bergabung dengan empat Operator Poin Pengecasan (CPO) iaitu Charge+, ChargeSini, Rexharge dan Charge N Go untuk meningkatkan aksesibiliti pengecasan kenderaan elektrik (EV) di kondominium seluruh Malaysia.
Kerjasama ini bertujuan untuk memperkukuh lagi ekosistem EV negara dan menyokong peningkatan jumlah pemilikan Proton e.Mas dan smart.
Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net, Zhang Qiang berkata, kerjasama dengan CPO ini adalah untuk menyokong matlamat Pro-Net dalam mempermudah dan meningkatkan aksesibiliti pemilikan EV.
Katanya, pihaknya memberi perhatian kepada penduduk bangunan bertingkat yang sering menghadapi kesulitan untuk mengecas di rumah.
“Kerjasama ini bukan sahaja membawa penyelesaian pengecasan yang lebih mudah dan mampu milik, tetapi juga memudahkan penduduk serta pengurusan bangunan untuk mendapatkan bantuan yang diperlukan bagi pemasangan pengecas EV.
“Hal ini adalah satu inisiatif penting dalam membantu lebih ramai orang beralih ke EV dengan lebih lancar,” katanya dalam kenyataan.
Dengan kerjasama ini, pemilik Proton e.Mas dan smart kini boleh mengecas kenderaan mereka dengan mudah di 320 lokasi kondominium dan apartmen seluruh negara.
Termasuk kerjasama sebelum ini bersama EV Connection (EVC) pada Disember 2024, Pro-Net kini menyediakan akses kepada 1,053 poin pengecasan di bangunan kediaman bertingkat.
Tambahnya, usaha ini menyumbang kepada pencapaian liputan sebanyak 90 peratus bagi keperluan pengecasan awam di Malaysia, sekali gus menjadi sebahagian daripada rangkaian melebih 2,500 poin pengecasan di seluruh negara.
“Bagi meraikan pelancaran kerjasama strategik ini, Pro-Net memperkenalkan kempen promosi terhad khusus untuk pengguna aplikasi Proton e.Mas dan Hello smart.
“Bermula dari 1 Jun 2025 hingga 31 Disember 2025, pemilik akan menikmati kadar pengecasan EV istimewa di lokasi pengecasan kondominium yang disediakan oleh setiap CPO yang mengambil bahagian,” jelasnya.
Menurutnya, setiap rakan kongsi akan menawarkan kadar promosi dengan harga bermula serendah RM0.75/kWh, bergantung kepada lokasi dan penyedia.
Kadar ini akan ditawarkan secara eksklusif melalui aplikasi Proton e.Mas, yang mengintegrasikan peta pengecasan langsung Pro-Net dengan platform pengecasan setiap CPO.










