Thailand sahkan 12 rakyat maut dalam konflik Hamas-Israel - Utusan Malaysia

Thailand sahkan 12 rakyat maut dalam konflik Hamas-Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Thailand mengesahkan 12 rakyatnya terbunuh dalam konflik antara Israel dan pejuang Hamas, dengan kerajaan itu hari ini sedang menyediakan rancangan untuk memindahkan warganegaranya.

Jurucakap Kementerian Luar, Kanchana Patarachoke, berkata, kedutaan Thailand di Israel memperoleh maklumat mengenai kematian daripada majikan mangsa.

Selain itu katanya, lapan lagi rakyat Thailand cedera dan 11 ditawan sejak perang meletus apabila Hamas melancarkan serangan besar-besaran pada Sabtu.

Menurut Kementerian Buruh terdapat kira-kira 30,000 pekerja Thailand bekerja di Israel, dengan kebanyakan mereka berada dalam bidang pertanian.

Menteri Buruh, Phiphat Ratchakitprakarn berkata, tentera Israel mula memindahkan pekerja dari zon bahaya.

“Terdapat 1,099 rakyat kita mendaftar untuk pulang ke tanah air,” katanya dalam satu wawancara di televisyen Thailand.

Menurutnya, Thailand mempunyai kira-kira 5,000 buruh yang bekerja di zon pertempuran.

Kanchana berkata, Kementerian Luar berkata, pesawat tentera utara Thailand sedang bersiap sedia untuk membawa pulang rakyat, walaupun tarikh dan perincian lain mengenai sebarang pemindahan masih dimuktamadkan.

Lebih daripada 1,100 orang terbunuh dalam konflik di Israel dan Gaza dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu memberi amaran negara bersiap sedia menghadapi pertempuran ‘panjang dan sukar’. -AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN