Tentera dan penduduk Israel imbau detik pejuang Palestin tembusi

Tentera dan penduduk Israel imbau detik pejuang Palestin tembusi tembok besi sempadan Gaza

SUKARELAWAN mengangkut mayat mangsa yang maut dalam serangan di Sderot, Israel.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Penduduk dan pihak berkuasa Israel mengakui tidak menyangka kumpulan pejuang Hamas berjaya menceroboh sistem keselamatan wilayah itu, malah terkejut dengan keupayaan mereka melakukan serangan walaupun tanpa kelengkapan canggih seperti dimiliki rejim zionis.

Israel sudah lama menganggap penghalang keselamatan berteknologi tingginya yang menyekat Semenanjung Gaza tidak dapat ditembusi kerana dipenuhi pagar berduri, kamera dan sensor selain diperkuat dengan tapak konkrit serta mesingan kawalan jauh.

TAK BERSEDIA

Tetapi selepas serangan mengejut Hamas, tentera Israel tampil menceritakan detik-detik mengejutkan bagaimana kumpulan pejuang melancarkan operasi kompleks untuk melanggar tembok besi Israel di beberapa lokasi sekitar kawasan itu.

Serangan besar-besaran pada waktu subuh Sabtu lalu itu melibatkan serangan roket, penembak tepat, bahan letupan yang dijatuhkan dari dron serta jentolak yang berjaya menembusi penghadang pagar berkembar setinggi enam meter.

Lebih 1,500 anggota Hamas dilaporkan menyerbu dengan trak pikap dan motosikal sambil disertai oleh pejuang lain menggunakan bot laju di laut untuk melancarkan serangan senjata api yang meragut ratusan nyawa di komuniti berhampiran.

“Pada pukul 6.30 pagi (waktu tempatan) serangan roket itu bermula.

“Kira-kira 30 pejuang segera menyerbu pangkalan tentera itu dan mengepungnya selama tujuh jam.

“Saya berlari dengan hanya berkaki ayam ke tempat perlindungan bom dan selepas sejam kami mula mendengar suara dalam bahasa Arab dengan mereka mula menembak di pintu masuk,” kata seorang tentera peninjau yang ditempatkan di Nahal Oz di seberang Gaza dalam satu wawancara televisyen dari katil hospitalnya.

Jelasnya, sebelum unit tentera elit Israel kembali ke pangkalan, kawasan itu seakan bertukar menjadi kem Hamas selama beberapa jam.

SERANGAN PENEMBAK TEPAT

Jurucakap tentera Israel berkata, serangan bermula dengan penembak tepat melepaskan beberapa das tembakan ke arah pos pemerhatian di kawasan penghadang sepanjang 65 kilometer.

“Lelaki bersenjata Palestin mula menembak kamera pemerhati dan ia sampai ke tahap di mana kami tidak dapat lagi memerhati sempadan.

“Ketika pangkalan tentera diserang, kami diberitahu satu-satunya pilihan kami adalah berlari menyelamatkan nyawa kami ke bilik situasi,” kata seorang tentera Israel kepada laman web berita Hamakom.

Beberapa anggota tentera Israel turut berkongsi situasi serupa dalam siaran media sosial dan wawancara media, semuanya menunjuk kepada serangan besar-besaran awal untuk melumpuhkan sistem pemerhatian dan komunikasi penghadang sempadan Gaza.

Jurucakap tentera bagaimanapun menafikan khabar angin mengenai serangan siber yang menyasarkan sistem ketenteraan sebagai punca kegagalan menghidu serangan itu.

Rakaman video yang dikeluarkan oleh Hamas juga menunjukkan pejuang berjaya menembak ke arah pos pemerhatian termasuk sistem kendalian jauh mereka.

Rakaman dalam talian turut diambil oleh kamera dron yang berlegar di atas menara pemerhati sebelum menjatuhkan bahan letupan, manakala pejuang juga dilihat menggunakan jentolak atau meletupkan lubang melalui pagar sempadan bagi membolehkan mereka menyerbu masuk ke pusat kawalan Israel.

Serangan tersebut disifatkan terburuk dalam tempoh 75 tahun di Israel dan mencetuskan serangan balas terhadap Gaza yang sudah meragut ribuan nyawa tanpa penamat pantas.

“Ia adalah kegagalan terbesar sistem perisikan dan peralatan tentera di selatan,” kata bekas penasihat keselamatan tentera Israel, Yaakov Amidror.

Penduduk Israel yang terselamat daripada serangan ke atas komuniti berhampiran turut mengakui terkejut dengan kegagalan sistem yang diwujudkan untuk memastikan keselamatan mereka.

“Beberapa tahun lalu, selepas mereka memasang tembok penghalang ini, kami merasakan kami sudah selamat.

“Tetapi kini kami sedar ia hanyalah ilusi,” kata penduduk Beeri Kibbutz, Inbal Reich Alon, 58.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN