SURABAYA: Anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia, Edward Tannur, iaitu bapa kepada suspek pembunuhan wanita, Gregorius Ronald Tannur memohon maaf kepada umum berhubung perbuatan anaknya.
Gregorius didakwa membunuh teman wanitanya, Dini Sera Afryanti secara sadis dengan memukulnya hingga mati dalam satu kejadian, baru-baru ini.
Kini, Gregarius ditahan polis bagi membantu siasatan.
“Kami sekeluarga ingin memohon maaf dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa berhubung kejadian yang berlaku.
“Saya amat terkejut dengan apa yang berlaku dan benar-benar menyesalinya.
“Sebagai ibu bapa, saya tidak pernah ajar anak-anak saya memukul orang, apatah lagi sampai membunuh,” kata anggota Parti Kebangkitan Bangsa itu.
Terdahulu, Gregorius dilaporkan membawa mangsa ke pusat karaoke Blackhall KTV di Lenmarc Mall di Surabaya sebelum bertengkar di kawasan berkenaan.
Ketika berada di dalam lif, suspek menendang dan memukul kepala mangsa sebanyak dua kali menggunakan botol arak.
Lebih sadis, suspek juga menggilis mangsa menggunakan kereta dan mengheretnya sejauh lima meter ketika berada di tempat letak kenderaan.
Selepas melihat mangsa tidak sedarkan diri, suspek kemudiannya membawa mangsa ke hospital sebelum dia disahkan meninggal dunia.
Suspek turut membuat laporan polis mendakwa mangsa meninggal dunia akibat masalah perut.
Sementara itu, Edward menyatakan beliau mahu anaknya dikenakan tindakan undang-undang yang sewajarnya, tanpa sebarang pengecualian.
“Jika benar dia bersalah, dia perlu dihukum sewajarnya, semua itu disebabkan oleh sikapnya sendiri,” jelas Edward.