Menteri Belia dan Sukan Indonesia dituduh terima rasuah 27 bilion rupiah - Utusan Malaysia

Menteri Belia dan Sukan Indonesia dituduh terima rasuah 27 bilion rupiah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Menteri Belia dan Sukan Indonesia, Dito Ariotedjo, dituduh menerima rasuah 27 bilion rupiah (RM8 juta) berkaitan projek infrastruktur Internet di Kementerian Perhubungan dan Penerangan.

Bagaimanapun, beliau menafikan tuduhan itu ketika dihadapkan sebagai saksi dalam perbicaraan rasuah pada Rabu.

Seorang defendan dalam kes itu, seorang peniaga, Irwan Hermawan, sebelum ini memberitahu Mahkamah Pencegahan Rasuah Jakarta bahawa beliau menyerahkan wang itu kepada Dito menerusi orang tengahnya, sebelum beliau dilantik sebagai menteri.

Hakim Fahzal Hendri menghadapkan Dito dengan pertuduhan itu tetapi beliau menjawab sambil bersumpah: “Itu tidak benar”.

Menteri itu berkata beliau tidak mengenali Irwan secara langsung, tetapi mengakui mengenali seorang lagi defendan bernama, Galumbang Menak, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat teknologi Mora Telematika Indonesia, yang didakwa menghantar wang sogokan itu kepada Dito.

Dito mendakwa beliau pernah bertemu Galumbang yang mengunjungi rumah ibu bapanya di Kuningan, Jakarta Selatan.

“Syarikatnya baru sahaja menawarkan saham terbitan awam atau IPO dan syarikat keluarga saya juga merancang untuk menawarkan IPO,” kata Dito ketika ditanya lebih lanjut mengenai pertemuannya dengan Galumbang.

Dalam perbicaraan itu, Dito memberi keterangan terhadap defendan utama, bekas Menteri Perhubungan dan Penerangan, Johnny Plate.

Dito, 33 tahun, berkata beliau mengenali Johnny kerana mereka berdua bertugas dalam Kabinet kerajaan.

Bagaimanapun, Johnny berkata dia tidak pernah bertemu Dito secara langsung.

Dito, yang nama sebenarnya Ario Bimo Nandito, mula memegang jawatan sebagai menteri pada 3 April, menjadi anggota termuda Kabinet Presiden Joko Widodo.

Sebelum menyertai Kabinet, beliau dikenali sebagai ahli perniagaan yang mengasaskan beberapa syarikat pemula dan ahli politik yang bergabung dengan Parti Golkar.

Perbicaraan kes rasuah itu berhubung projek pemerintah yang bertujuan membangunkan infrastruktur Internet 4G meliputi kira-kira 7,900 kampung terpencil, yang dimulakan oleh Agensi Kebolehcapaian Maklumat dan Telekomunikasi (Bakti) Kementerian Perhubungan dan Penerangan Indonesia.

Perbicaraan itu melibatkan lapan defendan, termasuk bekas pegawai tinggi pemerintah dan ahli perniagaan yang didakwa membayar rasuah untuk mendapatkan kontrak membekalkan stesen pemancar pangkalan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN