'Mayat bergelimpangan, tapi semangat kami tidak luntur'

‘Mayat bergelimpangan, tapi semangat kami tidak luntur’

KESAN kemusnahan yang berlaku selepas tentera Israel melancarkan serangan udara di Semenanjung Gaza, Palestin. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: “Kami saksikan kiri kanan ada mayat bergelimpangan, semuanya mati akibat kena bedilan bom tentera Zionis.

“Namun, sampai mati pun kami tidak akan mengalah kerana inilah tanah air kami, tempat tumpahnya darah kami,” kata seorang penduduk Gaza, Mohammed Saq Allah.

Katanya, penduduk Gaza tidak takut dengan perang yang berlaku kerana pada mereka, hampir setiap hari Israel lakukan serbuan dan tembak mati rakyat Palestin tanpa belas ehsan.

Jelas pemuda berusia 23 tahun itu, bukan dia seorang sahaja yang akan terus mempertahankan Gaza dan bumi Palestin.

“Kami akan kekal di sini tanpa mengalah walau sedikit. Biarlah dunia tidak mahu tolong, kami akan berjuang habis-habisan.

“Sudah tiba masanya kami menikmati negara yang merdeka tanpa ada penindasan Zionis,” ujarnya.

Selain itu, pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh menjangkakan operasi Taufan Al-Aqsa akan berjaya dan berikrar meneruskan pertempuran menentang Israel.

Beliau berkata, inilah masanya untuk bebaskan Palestin walau dengan apa cara sekali pun.

“Biar kami bermandi darah, pertempuran dan perjuangan akan diteruskan sampai kami menang.

“Kepada Israel, kami akan hancurkan anda sehabis-habisnya,” tegas Ismail.

Hamas turut menyifatkan bantuan yang diberikan oleh Amerika Syarikat (AS) kepada Israel hanya akan memburukkan situasi.

Pergerakan itu menjelaskan, tidak perlu campur tangan kuasa Barat dalam konflik yang berlaku.

Dalam pada itu, konflik yang berlaku menyaksikan lebih 1,000 orang menjadi korban dengan lebih 400 dilaporkan terbunuh di Gaza manakala lebih 700 maut di Israel.

Sehingga kini, tentera Israel terus melancarkan serangan udara di Gaza, menyaksikan banyak bangunan dan kemudahan lain musnah.

Pihak berkuasa Israel pula memaklumkan anggota Hamas menahan ramai tentera dan orang awam di wilayah mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN