YANGON: Mahkamah Agung di Myanmar yang diperintah junta tentera menolak rayuan bekas pemimpin dipenjarakan, Aung San Suu Kyi terhadap enam sabitan rasuah.
Keputusan mahkamah tersebut dilaporkan oleh beberapa media tempatan.
Suu Kyi berada dalam tahanan sejak junta tentera menggulingkan kerajaannya dalam rampasan kuasa tahun 2021.
Pemenang Hadiah Nobel itu berdepan hukuman penjara selama 27 tahun.
Suu Kyi membuat rayuan membabitkan puluhan sabitan bagi jenayah yang terdiri daripada pengkhianatan dan rasuah kepada pelanggaran undang-undang telekomunikasi.
Bagaimanapun, Suu Kyi menafikan melakukan sebarang salah laku.
Myanmar bergolak sejak rampasan kuasa dan tindakan kekerasan junta tentera terhadap pihak lawan, dengan ribuan penduduk dipenjarakan atau dibunuh.
Banyak negara menggesa Suu Kyi dibebaskan tanpa syarat, selain pembebasan ribuan tahanan politik lain di negara Asia Tenggara itu.
Dua bulan lalu, mahkamah menolak lima rayuan dilakukan oleh Suu Kyi berhubung sabitan mengimport dan memiliki walkie talkie secara haram, hasutan dan melanggar sekatan Covid-19.
Ogos lalu, junta tentera Myanmar mengurangkan tempoh hukuman penjara Suu Kyi
sebanyak enam tahun menerusi pengampunan negara yang diberikan kepada pemimpin awam digulingkan itu.
Suu Kyi sebelum ini dikenakan hukuman penjara selama 33 tahun untuk pelbagai kesalahan termasuk rasuah, menyeludup alat komunikasi dan melanggar sekatan Covid-19.
Tempoh pengurangan itu berkaitan dengan lima daripada 19 kes jenayah yang
dihadapi oleh pemimpin berusia 78 tahun itu.
Bagaimanapun, Suu Kyi masih berdepan 14 kes walaupun sudah diberi
pengampunan.
Pelbagai pihak menzahirkan kebimbangan mengenai tahap kesihatan Suu Kyi sejak beliau ditahan.
Malah, junta tentera juga pernah memindahkan Suu Kyi dari penjara ke sebuah bangunan kerajaan. – REUTERS/AFP