Konflik Palestin-Israel: Warga asing mahu pulang ke tanah air

Konflik Palestin-Israel: Warga asing mahu pulang ke tanah air

ABDILLAH Onim (kiri) bersama anak-anaknya kini menetap di Gaza. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Beberapa warga Asia Tenggara merancang untuk pulang ke negara asal mereka berikutan konflik antara Palestin dan Israel yang semakin memuncak ketika ini.

Bagaimanapun, golongan itu mengakui terpaksa menempuh perjalanan pulang yang agak mencabar.

Menurut warga Indonesia, Abdillah Onim, 44, dia bersama keluarganya kini tinggal di antara rumah dan bangunan dibedil bom, dengan nyawa mereka terancam di tengah-tengah serangan udara Israel di Gaza.

“Banyak rumah penduduk Gaza dibedil bom tanpa henti sehingga ia dimusnahkan. Apa yang anda lihat di media adalah benar,” katanya kepada Channel News Asia.

Abdillah yang berkahwin dengan rakyat Palestin dan mempunyai tiga orang anak, menetap di Gaza sejak tahun 2009.

Susulan konflik terbaharu itu, Abdillah terpaksa merancang untuk pulang ke Indonesia walaupun perjalanan ke negara asalnya kelihatan agak sukar.

Menurut Abdillah, dia bersama isteri dan anaknya akan cuba berpindah ke Mesir dalam masa terdekat.

Namun, dia mengakui rancangannya hanya sekadar `angan-angan’.

Abdillah merupakan antara warga asing menetap di Palestin dan Israel yang mempertimbangkan meninggalkan wilayah dilanda konflik itu untuk pulang ke negara asal.

Bagaimanapun, tindakan Israel yang mengenakan kepungan menyeluruh ke atas Semenanjung Gaza menyukarkan lagi keadaan bagi mereka yang mahu meninggalkan kawasan tersebut.

Susulan konflik yang semakin memuncak itu, beberapa negara Asia Tenggara mengeluarkan nasihat perjalanan kepada rakyat mereka yang berada di Palestin dan Israel.

Seorang pakar keselamatan juga mengakui mengalami kesukaran ketika menyelaras usaha menghantar pulang warga asing terutamanya bagi negara yang tidak mempunyai hubungan formal dengan Israel.

Dilaporkan, konflik antara Palestin dan Israel menyaksikan jumlah kematian kedua-dua belah pihak kini mencecah 3,000 orang.

* INDONESIA

Sekurang-kurangnya 45 warga Indonesia dilaporkan menetap di Palestin.

Pengarah Perlindungan Warga Indonesia di Kementerian Luar Indonesia, Judha Nugraha berkata, jumlah itu membabitkan 10 rakyatnya di Gaza dan 35 lagi di Tebing Barat.

Jelas beliau, seramai 230 rakyat Indonesia melancong ke Israel bagi tujuan keagamaan.

* THAILAND

Timbalan Menteri Luar Thailand, Jakkapong Sangmanee berkata, lebih 3,000 rakyatnya yang berada di Israel menyatakan mahu pulang ke tanah air.

Katanya, kira-kira 30,000 warga Thailand sedang bekerja di Israel, dengan sekitar 5,000 daripadanya berada di kawasan konflik.

Menurutnya, kumpulan pertama warga Thailand yang dipindahkan dijangka pulang pada hari ini.

Jelas beliau, proses membawa pulang rakyat Thailand akan bergantung kepada penerbangan komersial dan sewa khas memandangkan pesawat tentera tidak dibenarkan untuk mendarat di Israel.

* FILIPINA

Isnin lalu, Pejabat Komunikasi Presiden Filipina memaklumkan rakyat negaranya yang tinggal di Israel tidak memohon penghantaran pulang segera.

“Bagaimanapun, kedutaan mempunyai pelan penghantaran pulang dan bersedia melaksanakannya jika perlu. Kami juga memiliki sumber mencukupi untuk usaha ini,” jelasnya dalam kenyataan.

Berdasarkan laporan akhbar Philippine Daily Inquirer, sekurang-kurangnya 38 warga Filipina yang berada di Semenanjung Gaza menyatakan hasrat untuk pulang ke tanah air.

Selain itu, menurut laporan media, seorang warga Filipina dipercayai menjadi tebusan manakala tujuh daripada 29 rakyat negara itu yang pada awalnya dilaporkan hilang, masih tidak dapat dikesan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN