GAZA: Kementerian Kesihatan di Gaza menerbitkan senarai nama hampir 7,000 orang yang terbunuh akibat serangan Israel di wilayah itu dalam tempoh tiga minggu lalu.
Senarai yang dilaporkan setebal 212 muka surat itu lengkap dengan nama, umur jantina dan nombor pengenalan rasmi 6,747 orang yang terbunuh di Gaza sejak Israel memulakan serangan udaranya pada 7 Oktober lalu.
Menurut akhbar The Independent, dokumen itu menyatakan bahawa senarai ini tidak termasuk 281 mayat yang masih belum dikenal pasti.
Senarai itu dibuat bagi membidas kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden yang mendakwa tidak yakin dengan jumlah kematian di Palestin.
“Saya pasti orang yang tidak bersalah telah dibunuh dan itu adalah harga untuk melancarkan perang.
“Tetapi saya tidak yakin dengan jumlah yang digunakan oleh rakyat Palestin,” kata Biden pada sidang akhbar semalam tanpa menawarkan sebarang bukti tentang keraguannya.-AGENSI