TEL AVIV: Menteri Tenaga Israel, Israel Katz menegaskan negaranya tidak akan membenarkan sumber asas atau bantuan kemanusiaan ke Gaza sehingga kumpulan pejuang Hamas membebaskan individu yang diculik semasa serangan mengejut Sabtu lalu.
Seramai 150 orang termasuk penduduk Israel dan warga asing didakwa diculik ke Semenanjung Gaza oleh pejuang Hamas ketika serangan Sabtu lalu.
“Bantuan kemanusiaan ke Gaza?
“Tiada suis elektrik akan dihidupkan, paip air tidak akan dibuka dan lori minyak tidak akan masuk sehingga mangsa culik Israel pulang ke rumah,” katanya dalam satu kenyataan.
Israel mengumumkan pengepungan sepenuhnya ke atas Gaza dan bertindak memotong bekalan air, bahan api serta elektrik sejak beberapa hari lalu.
Loji kuasa tunggal di wilayah Palestin turut ditutup semalam selepas kehabisan bahan api.
Serangan Israel di Semenanjung Gaza dilaporkan sudah mengorbankan lebih 1,200 orang.-AFP