BEIRUT: Serangan Israel menyasarkan lapangan terbang bandar Aleppo yang dikuasai kerajaan Syria mencederakan lima orang, lapor pegawai pemantau perang.
Kejadian berlaku beberapa hari selepas serangan serupa melanda lapangan terbang Aleppo dan Damsyik.
Kementerian Pertahanan Syria mengesahkan serangan tersebut yang berlaku sekitar 11.35 malam (waktu tempatan) dan memaklumkan lapangan terbang itu tidak dapat beroperasi buat sementara waktu.
“Musuh Israel melakukan serangan udara dari arah Laut Mediterranean di barat Latakia, menyasarkan Lapangan Terbang Antarabangsa Aleppo.
“Serangan menyebabkan banyak kerosakan pada lapangan terbang hingga tidak dapat berfungsi,” tambah kementerian itu.
Kementerian itu menegaskan serangan berkenaan turut mengesahkan pendekatan jenayah oleh Israel terhadap rakyat Palestin.
Menurut media kerajaan, serangan serentak pada Khamis lalu merosakkan laluan pendaratan di kedua-dua lapangan terbang, menyebabkan perkhidmatan penerbangan tidak dapat beroperasi.
Balai Cerap Syria berkata, sumbernya mengesahkan serangan Israel ke atas lapangan terbang di Damsyik dan Aleppo merupakan mesej amaran untuk menghalang pesawat Iran daripada mendarat di lapangan terbang itu.-AFP