BANGKOK: Sebuah unit perundingan kesihatan mental dibuka bagi membantu individu yang trauma atau rasa kecewa susulan insiden tembakan di sebuah pusat beli-belah di Thailand.
Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun melepaskan tembakan di pusat beli-belah ternama, Siam Paragon sehingga mengakibatkan dua warga asing maut dan lima mangsa lain cedera.
Lapor Bangkok Post, Ketua Pengarah Jabatan Kesihatan Mental, Amporn Benjaponpitak memaklumkan beliau dan kakitangannya ditugaskan oleh Menteri Kesihatan, Cholnan Srikaew dan setiausaha tetap kesihatan, Dr. Opas Karnkawinpong untuk menjaga mana-mana individu terganggu dengan insiden tembakan itu.
Menurut Amporn, unit itu yang terletak di tingkat M Siam Paragon, akan beroperasi selama tujuh hari dari pukul 9 pagi hingga 8 malam.
Katanya, pusat beli-belah itu akan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada individu terjejas untuk menawarkan maklumat mengenai perkhidmatan kesihatan mental termasuk ujian saringan kesihatan mental.
“Jika individu itu diberi penjagaan rapi tepat pada masanya, simptom mereka akan beransur pulih dan mampu kembali meneruskan kehidupan normal secepat mungkin,” katanya.
Jelasnya, sekiranya golongan individu berkenaan gagal menerima rawatan sewajarnya maka simptom mereka boleh meningkat sekali gus menjejaskan kesihatan mental dalam jangka masa panjang.
“Justeru, menjadi kewajipan kami untuk memastikan semua orang selamat dan boleh menjalani kehidupan seperti biasa.
“Kita juga perlu mengakui golongan seperti pemilik kedai, pekerja, pembeli dan masyarakat sekeliling terjejas dari segi kesihatan mental,” katanya.
Sementara itu, ahli Parlimen pembangkang mengemukakan beberapa cadangan keselamatan awam untuk membantu mengelakkan kejadian tembakan pusat membeli-belah berulang.
Ahli Parlimen dari Parti Move Forward (MFP), Parit Wacharasindhu memaklumkan antara cadangan diutarakan adalah mempercepatkan pelaksanaan sistem amaran penyiaran sel untuk mempertingkatkan keselamatan awam.
Katanya, ia perlu dilaksanakan oleh Kementerian Ekonomi Digital dan Masyarakat (DES) dan Suruhanjaya Penyiaran dan Telekomunikasi Kebangsaan (NBTC).
Menurutnya, orang ramai di pusat beli-belah itu tidak menerima sebarang amaran kecemasan, malah hanya bergantung kepada makluman SMS dan berita dalam media sosial.










