PETALING JAYA: MISC Berhad (MISC) menerima surat penganugerahan (LOA) daripada Petronas LNG Ltd. (PLL) bagi penyewaan jangka panjang tiga kapal pengangkut gas asli cecair (LNG) binaan baharu, sekali gus mengukuhkan kerjasama strategik antara kedua-dua entiti dalam rantaian nilai LNG.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, MISC berkata, di bawah projek tersebut, setiap kapal akan disewakan untuk tempoh tetap selama 20 tahun dengan perkhidmatan dijangka bermula pada 2029.
Menurutnya, MISC akan menyediakan perkhidmatan pengangkutan LNG melalui anak-anak syarikat milik penuhnya.
Seiring dengan penerimaan LOA itu, MISC turut memeterai kontrak pembinaan kapal dengan Hudong-Zhonghua Shipbuilding (Group) Co. Ltd., sebuah syarikat pembinaan kapal terkemuka di bawah China State Shipbuilding Corporation Limited, bagi pembinaan tiga kapal LNG baharu tersebut.
“Projek berkenaan merupakan inisiatif strategik untuk menyokong jangkaan pertumbuhan pengeluaran LNG Petronas, di samping mempercepatkan program pembaharuan armada LNG syarikat melalui penggunaan kapal moden dan lebih cekap tenaga, sekali gus membantu mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.
“Perjanjian sewaan masa ini merangkumi risiko komersial, pelaksanaan projek dan operasi yang sememangnya wujud dalam industri.
“MISC akan mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi mengurangkan risiko tersebut melalui kawalan yang telah ditetapkan, pengalaman serta kepakaran operasi sedia ada,” katanya.
MISC berkata, projek ini tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham atau pihak berkuasa kerajaan dan tidak dijangka memberi kesan material terhadap kedudukan kewangan Kumpulan MISC bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.
PLL merupakan anak syarikat tidak langsung milik penuh Petroliam Nasional Berhad (Petronas), yang juga pemegang saham utama MISC.
Selain semua pengarah bukan bebas bukan eksekutif dan pengarah eksekutif MISC (pengarah berkepentingan) serta Petronas (sebagai pemegang saham utama MISC dan syarikat pegangan PLL), tiada seorang pun pengarah dan/atau pemegang saham utama MISC dan/atau orang yang berkaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam projek ini.
Datuk Adif Zulkifli, seorang pengarah bukan bebas bukan eksekutif, merupakan Pengarah Petronas LNG Sdn. Bhd. (PLSB) iaitu syarikat pegangan kepada PLL. – UTUSAN










