MELAKA: Pekebun sayur dan buah-buahan di kawasan Bukit Rambai di sini, berada dalam kebimbangan selepas sungai berhampiran kebun mereka bertukar kehitaman dan berbau busuk sejak tiga minggu lalu, dipercayai akibat pelepasan air sisa industri yang tidak dirawat.
Seorang pekebun Fong Ah Chan, 72, berkata, situasi itu menimbulkan keresahan kerana pekebun bergantung sepenuhnya kepada air sungai bagi tujuan pengairan tanaman seperti kangkung, keledek dan kesom.
“Setakat ini belum nampak kesan pada tanaman, tetapi kalau keadaan ini berlarutan, saya risau hasil kebun terjejas,” katanya.
Pekebun buah-buahan, Lee Kau, 68, berkata, pencemaran merosakkan tanamannya seperti jambu, durian dan rambutan, malah mendakwa buah jambu kebunnya mulai gugur.
Penduduk, Nor Lukman Mohd. Said, 29, berkata, bau busuk menjejaskan aktiviti harian, malah kawasan memancing yang dahulunya popular kini ditinggalkan.
Tinjauan mendapati sungai sepanjang 10 kilometer itu tercemar akibat pelepasan air sisa industri dari kolam takungan banjir di kawasan perindustrian Bukit Rambai sebelum mengalir ke sungai.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong berkata, hasil lawatan tapak bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati kolam takungan mengandungi air sisa industri berwarna hitam dan berbau busuk.
“Sepatutnya kolam ini hanya menakung lebihan air hujan sebelum dilepaskan ke sistem parit dan sungai. Baunya hampir sama dengan kes pencemaran di Sungai Air Salak sebelum ini,” katanya yang mencadangkan penubuhan jawatankuasa khas mengambil sampel air dan mengenal pasti kilang terlibat.
Pemantauan rapi dan tindakan tegas perlu diambil untuk mengelak kejadian sama berulang. – UTUSAN










