NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres berkata, serangan Hamas ke atas Israel tidak mewajarkan hukuman kolektif terhadap rakyat Palestin dan menggesa gencatan senjata segera.
Beliau sebelum ini mengakui gerun dengan letupan maut yang melanda hospital Gaza semalam.
“Hati saya bersama keluarga mangsa. Hospital dan kakitangan perubatan dilindungi di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa,” katanya.
Guterres turut mengutuk serangan ke atas sebuah sekolah yang dikendalikan oleh PBB di kem pelarian Gaza yang mengorbankan enam orang.
Beliau merayu gencatan senjata kemanusiaan dengan segera dalam perang antara Israel dan Hamas di Gaza, serta mengulangi apa yang disebutnya dua rayuan kemanusiaan segera.
Beliau menggesa Hamas membebaskan tebusan segera dan tanpa syarat dan menyeru Israel untuk segera membenarkan akses bantuan kemanusiaan bagi menyalurkan keperluan paling asas kepada penduduk Gaza yang majoriti adalah wanita dan kanak-kanak.
“Saya menyeru gencatan senjata kemanusiaan dengan segera untuk menyediakan masa dan ruang yang mencukupi bagi membantu merealisasikan dua rayuan saya dan untuk meringankan penderitaan manusia yang kita saksikan,” kata Guterres.
Sementara itu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dilaporkan akan mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan serangan ke atas Hospital Al-Ahli Baptist di Gaza.
Menurut kenyataan jurucakap PBB, mesyuarat itu dijadualkan pada 10 pagi (waktu tempatan) dan akan dijalankan dalam format debat terbuka.
Draf resolusi dari Brazil akan diundi pada mesyuarat itu.
Sebelum ini, Russia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersama-sama menggesa sidang tergempar Majlis Keselamatan.-AGENSI/AFP