Gaza terima bantuan kemanusiaan terbesar sejak 7 Oktober

Gaza terima bantuan kemanusiaan terbesar sejak 7 Oktober

TRAK bantuan kemanusiaan dalam perjalanan ke Gaza melalui lintasan Rafah yang bersempadan dengan Mesir. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DEIR AL-BALAH: Sebanyak 33 trak bantuan kemanusiaan memasuki Semenanjung Gaza kelmarin, sekali gus menjadi konvoi paling banyak melintasi ke wilayah itu sejak perang Palestin-Israel tercetus.

Namun, keadaan di Gaza masih genting dan bekalan keperluan asas tidak mencukupi sehingga memaksa ribuan penduduknya menyerbu gudang simpanan untuk mengambil tepung serta produk kebersihan.

Jurucakap UNRWA, Juliette Touma berkata, gudang penyimpanan itu tidak mempunyai bahan api dan hanya mengandungi barangan keperluan asas seperti makanan dan barangan penjagaan diri.

“Penduduk Gaza amat terdesak, mereka lapar, mereka tidak cukup rehat dan tidur, semuanya sangat teruk,” ujarnya.

Terdahulu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) menyifatkan menghalang bekalan bantuan kepada penduduk Gaza mungkin merupakan jenayah di bawah bidang kuasa badan tersebut.

Perkara itu dinyatakan Pendakwa Raya Tertinggi ICC, Karim Khan pada sidang akhbar di Mesir, kelmarin.

Menurut Karim, Israel perlu melakukan usaha yang boleh dilihat tanpa berlengah untuk memastikan orang awam menerima makanan asas dan ubat-ubatan.

Bekalan bantuan ke Gaza adalah di tahap minimum sejak Israel mula mengebom kepung Palestin yang padat penduduk sejak 7 Oktober lalu.

Dalam lawatan tanpa sebarang pengumuman, pendakwa ICC turun padang ke persimpangan sempadan Rafah antara Mesir dan Gaza dan menyiarkan kenyataan video dari lokasinya di akaun media sosial X.

Karim berkata, beliau tidak dapat masuk ke Gaza tetapi berharap untuk melawat wilayah itu dan Israel semasa berada di rantau itu.

Ketika ini, Israel dilihat mengawal sepenuhnya penyaluran bantuan ke Gaza dengan kelmarin, hanya 33 trak dibenarkan masuk ke kawasan sempadan dari Mesir.

Dalam perkembangan lain, Israel memaklumkan tenteranya menyerang 450 sasaran Hamas dalam tempoh 24 jam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN