Dilema penduduk Gaza

Dilema penduduk Gaza

PENDUDUK Palestin meninggalkan rumah dengan membawa barangan mereka selepas tentera Israel melancarkan serangan udara di Rafah, Semenanjung Gaza. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA CITY: Lebih sejuta penduduk yang berada di utara Semenanjung Gaza dikatakan tertekan dan masih dalam dilema untuk membuat keputusan penting, di tengah-tengah konflik antara Palestin dan Israel yang semakin memuncak.

Dilema dihadapi penduduk berkenaan sama ada harus mengikut langkah lebih 400,000 saudara mara, jiran dan rakan yang sudah meninggalkan kediaman ekoran amaran perpindahan Israel, atau menyahut seruan kumpulan Hamas supaya kekal berada di rumah serta tidak tunduk dengan arahan rejim zionis. 

Sebelum ini, Israel memberi amaran kepada hampir separuh daripada 2.3 juta penduduk di seluruh semenanjung itu bahawa harus berpindah segera bagi membolehkan serangan darat dilaksanakan.

Memetik laporan The Guardian, jurucakap Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin, Nebal Farsakh menitiskan air matanya sambil cuba memahami situasi yang berlaku     di Gaza. 

“Lupakan mengenai makanan, elektrik dan bahan api. Satu-satunya kebimbangan penduduk ketika ini adalah jika terselamat maka mereka akan hidup,” katanya. 

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan Palestin, seramai 2,260 orang maut dan lebih 9,810 cedera di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat sejak Israel melancarkan serangan minggu lalu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan lebih 423,000 penduduk sudah meninggalkan kediaman di Gaza.

Malah, jelas agensi itu, ramai penduduk berkenaan sedang menuju ke kawasan yang diarahkan oleh tentera Israel. 

Sejak pagi Jumaat, penduduk Palestin mula melakukan perjalanan ke selatan semenanjung dengan membawa barangan mereka termasuk beg pakaian, bantal dan tilam.

“Situasi amat buruk dan tidak selamat untuk penduduk berada di sini kerana kami sentiasa diserang.

“Saya tidak sangka perkara ini akan berlaku. Kami pernah menghadapi banyak pertempuran sebelum ini namun semua itu dianggap lebih mudah berbanding konflik semasa,” kata penduduk bernama Rama Abu Amra. 

Rama sebelum ini beberapa kali pernah meninggalkan kediamannya bersama keluarganya merentasi bandar Gaza sejak serangan bermula.  

Namun, penduduk lain membuat keputusan untuk terus berada di utara semenanjung kerana tidak mahu peristiwa Nakba berulang lagi. 

Ketika peristiwa Nakba atau malapetaka yang dikaitkan dengan penubuhan Israel, lebih 700,000 penduduk Palestin diusir keluar atau meninggalkan kediaman mereka. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN