LONDON: Keadaan ekonomi Syria yang semakin buruk menyebabkan ribuan pelajar miskin terpaksa berhenti sekolah apabila banyak golongan ibu bapa memilih menambah pendapatan isi rumah dengan menghantar anak mereka bekerja.
Menurut agensi berita Arab News, sekolah-sekolah di kawasan yang dikuasai kerajaan Syria dibuka semula pada September lalu selepas cuti musim panas dengan mengalu-alukan kepulangan kira-kira 3.7 juta kanak-kanak namun, tidak ramai yang hadir.
KOS PENDIDIKAN MENINGKAT
Dalam usaha menghalang kanak-kanak daripada dilucutkan hak untuk mendapat pendidikan dan memastikan mereka tidak dieksploitasi menjadi buruh, kumpulan masyarakat sivil menubuhkan projek yang direka untuk membantu pelajar yang lemah meneruskan pengajian.
Mart Team, sebuah badan amal di Damsyik melancarkan kempen dipanggil Aqlamouna Amalouna yang diterjemahkan sebagai ‘harapan dalam pena’ untuk menyokong pelajar sekolah rendah yang bergelut dengan masalah kewangan.
“Selepas menjalankan kajian untuk menyiasat mengapa ramai pelajar dalam darjah satu hingga enam tidak hadir ke sekolah, kami mendapati faktor utama ialah kos alat tulis dan bekalan pendidikan yang melambung tinggi.
“Ibu bapa memberitahu kami bahawa sekolah menuntut yuran dan caj yang tinggi, mendorong ramai keluarga mengeluarkan anak-anak dari sekolah dan memaksa mereka memasuki pasaran buruh untuk menyumbang kepada pendapatan isi rumah,” kata Pengurus Besar Mart Team, Marwan Alrez.
Alrez berkata, purata kos bekalan pendidikan untuk seorang pelajar sekolah rendah kini meningkat kepada sekurang-kurangnya 200,000 pound Syria (RM72).
“Beg galas sahaja boleh berharga 100,000 pound Syria (RM37). Jika sekolah gagal menyediakan pelajar dengan buku teks, ini boleh menyebabkan ibu bapa dikenakan bayaran tambahan 50,000 paun (RM15).
Kos sedemikian mungkin dilihat kecil di negara lain tetapi amat membebankan ramai rakyat di Syria termasuk pekerja sektor awam di negara itu walaupun gaji bulanan minimum mereka dinaikkan kepada 185,940 pound Syria (RM67) baru-baru ini.
KEKURANGAN ALAT BANTU MENGAJAR
Seorang guru, Donya Abo Alzahab yang mengajar kelas darjah dua di sebuah sekolah rendah di Damsyik selama setahun, menyedari betapa terdesaknya keadaan bukan sahaja bagi kebanyakan pelajar tetapi juga kepada golongan pendidik.
“Saya sangat teruja untuk memulakan kerja pertama saya sebagai guru sekolah.
“Tetapi saya tidak tahu ia akan menjadi cabaran yang sangat mahal walaupun penting, memandangkan kekurangan sokongan serta alat bantu mengajar yang sangat diperlukan,” jelasnya.
Dengan beberapa pelajar yang ketinggalan di belakang rakan sebaya mereka sebanyak tiga tahun dari segi pembelajaran, ramai guru-guru terpaksa membelanjakan sebahagian besar daripada pendapatan sederhana mereka sendiri untuk bahan bantu mengajar yang penting.
Keperluan yang terpaksa dikeluarkan guru-guru termasuk buku teks yang agak mahal ketika nilai mata wang negara jatuh ke paras terendah.
Donya yang memiliki ijazah dalam bidang pendidikan khas berkata, kos pengangkutan sahaja boleh melebihi 80,000 pound Syria (RM29) sebulan, bersamaan dengan hampir separuh gajinya.
Guru itu juga membelanjakan 30,000 pound Syria (RM10.91) untuk alat bantu mengajar dan 15,000 pound Syria (RM5.45) untuk buku laporan guru yang perlu diganti setiap bulan.
“Satu-satunya sebab mengapa saya tidak akan berhenti kerja adalah pelajar. Jika saya meletakkan jawatan, mereka akan dibiarkan untuk tempoh yang lama tanpa pengganti,” katanya.
Donya berkata, jurang dalam pendidikan juga menjadi masalah besar kepada golongan pendidik dengan 20 daripada 30 pelajarnya masih tidak boleh membaca atau menulis.
Laporan terbaharu oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mendedahkan bahawa kira-kira 2.4 juta kanak-kanak di Syria tidak bersekolah dan 1.6 juta lagi berisiko tercicir.