Aktivis gesa siasat aktiviti jual senjata ke Myanmar

Aktivis gesa siasat aktiviti jual senjata ke Myanmar

PENUNJUK perasaan mengadakan protes di hadapan Kedutaan Myanmar di Jakarta.-AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Kumpulan hak asasi manusia menggesa Indonesia menyiasat aktiviti penjualan senjata yang disyaki dilakukan oleh syarikat milik kerajaan kepada junta tentera Myanmar.

Menurut Penasihat Undang-Undang kumpulan aktivis tersebut, Feri Amsari, pihaknya memfailkan aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Nasional Indonesia Isnin lalu, mendakwa tiga firma pembuat senjata milik kerajaan menjual peralatan kepada Myanmar.

Myanmar dilanda keganasan sejak tentera menggulingkan kerajaan yang diketuai oleh pemenang Hadiah Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyi lebih dua tahun lalu.

Kumpulan yang membuat aduan itu termasuk Pertubuhan Hak Asasi Manusia Chin dan Projek Akauntabiliti Myanmar serta bekas peguam negara Indonesia, Marzuki Darusman.

Dalam aduan tersebut, mereka mendakwa bahawa pengeluar senjata PT Pindad; pembuat kapal negara, PT PAL dan syarikat aeroangkasa, PT Dirgantara Indonesia membekalkan peralatan ke Myanmar melalui syarikat bernama True North yang dikatakan dimiliki oleh anak seorang menteri kerajaan tentera di negara itu.

Marzuki berkata, suruhanjaya hak asasi dikenali sebagai Komnas HAM bertanggungjawab menyiasat memandangkan semua firma berkenaan tertakluk kepada kawalan dan pengawasan kerajaan.

Pengarah PT Pindad dilaporkan memberitahu media sebelum ini bahawa firma itu tidak menjual produk kepada Myanmar sejak 2016.

PT Dirgantara Indonesia pula menegaskan, pihaknya tidak pernah mempunyai kontrak dengan Myanmar atau pihak ketiga yang berkaitan.

True North masih enggan memberi sebarang komen berhubung isu itu tetapi profil syarikat tidak bertarikh yang dilihat agensi media menunjukkan firma tersebut mengenal pasti tiga pengeluar senjata Indonesia sebagai rakan kongsi strategik.

Kumpulan aktivis itu berkata, Myanmar membeli pelbagai barangan daripada syarikat itu termasuk pistol, senapang dan kenderaan tempur.

Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Indonesia berusaha untuk terlibat dengan kedua-dua tentera Myanmar dan kumpulan pembangkang bagi melaksanakan komitmen memudahkan perbincangan untuk menyelesaikan kemelut keganasan di negara itu.

Indonesia mengundi menyokong Resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) yang menyeru semua negara anggota menghalang pengaliran senjata ke Myanmar selepas rampasan kuasa pada 2021.

Pegawai khas PBB ke Myanmar melaporkan pada Mei lalu bahawa junta tentera mengimport sekurang-kurangnya AS$1 bilion (RM4.7 bilion) senjata dan bahan berkaitan sejak rampasan kuasa dengan sebahagian besarnya dari Russia, China, Singapura, Thailand serta India.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN