GAZA: Pergerakan Hamas memaklumkan, hampir 2,000 tentera terbabit dalam operasi menentang Israel, manakala 40,000 lagi dikerahkan di Semenanjung Gaza.
Pegawai kanan Hamas, Ali Baraka berkata, sekutu pergerakan itu tidak dimaklumkan mengenai operasi berkenaan.
Katanya, operasi yang dilancarkan Hamas bertujuan ‘memberi pengajaran’ kepada rejim Zionis yang sering menindas rakyat Palestin, selain merancang membunuh pemimpin Hamas.
Selain itu, serangan udara Israel kelmarin memusnahkan sebahagian besar kawasan kejiranan Al-Rimal di Bandar Gaza, menyebabkan Internet dan komunikasi terputus.
Pesawat perang Israel juga memusnahkan beberapa bangunan, termasuk kediaman, lapor Agensi Anadolu.
Menurut koresponden media, jet pejuang memusnahkan bangunan Syarikat Telekomunikasi Palestin, menyebabkan gangguan komunikasi dan Internet secara meluas.
Kompleks Perubatan Al-Shifa turut mengalami kerosakan akibat serangan udara itu.
Pertempuran terkini di Palestin yang melibatkan Hamas, pihak berkuasa di Gaza, dan rejim Israel sejak 7 Oktober telah mengakibatkan kehilangan ratusan nyawa kedua-dua belah pihak.
Setakat ini, lebih 700 rakyat Palestin maut di Gaza, termasuk di Tebing Barat.
Dalam pada itu, ketenteraan Israel mengerahkan 300,000 tentera simpanan dalam melaksanakan pengepungan sepenuhnya di Semenanjung Gaza.
Kerahan itu secara tidak langsung memberi isyarat bahawa Zionis mungkin melakukan serangan darat bagi menentang Hamas.
Pertempuran masih berlaku antara tentera Israel dan pejuang Hamas, menyaksikan bedilan demi bedilan bom digugurkan di Gaza.
Di dalam wilayah Israel, pejuang Hamas melancarkan serangan di beberapa lokasi.
Sehubungan itu, Zionis berikrar untuk meningkatkan serangan bagi menangkis kemaraan Hamas.
Israel turut mendakwa Hamas mengugut untuk membunuh rakyat mereka yang dijadikan tebusan.