Serangan udara di pasar Khartoum ragut lebih 40 nyawa

Serangan udara di pasar Khartoum ragut lebih 40 nyawa

KEPULAN asap dapat dilihat di lokasi serangan di Khartoum, Sudan. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KHARTOUM: Sekurang-kurangnya 43 orang terkorban dalam serangan udara di sebuah pasar di ibu negara Sudan kelmarin, menurut satu kumpulan perubatan.

Agensi berita Anadolu memetik Persatuan Doktor Sudan melaporkan, seramai 55 orang juga cedera dalam serangan yang berlaku di pasar berhampiran kejiranan Mayo di Khartoum Selatan.

Kumpulan aktivis ‘Emergency Room’ sebelum ini meletakkan angka korban dalam serangan itu berjumlah 40 orang.

Sehingga kini, tiada pihak tampil mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan tersebut.

Insiden itu berlaku susulan pertempuran antara tentera Sudan dan kumpulan seara tentera Rapid Support Forces (RSF) di Khartoum.

RSF mendakwa, tentera Sudan yang melakukan serangan udara terhadap kejiranan Mayo.

Namun, tentera Sudan menafikan tuduhan itu dan menyifatkannya sebagai ‘palsu dan mengelirukan’.

Dalam pada itu, jumlah kematian dijangka bertambah ekoran ramai yang cedera parah.

Sehubungan itu, pihak hospital mengeluarkan rayuan segera untuk semua profesional perubatan di kawasan itu supaya datang dan membantu merawat mangsa yang cedera.

Hampir 7,500 orang dilaporkan terbunuh dalam perang yang meletus pada 15 April, menurut anggaran konservatif daripada Projek Data Lokasi Konflik Bersenjata & Peristiwa.

Angka kematian sebenar diandaikan lebih tinggi dengan kebanyakan mereka yang cedera dan terbunuh tidak pernah sampai ke hospital atau bilik mayat.

Akses ke banyak kawasan sudah terputus sepenuhnya dan pihak yang bertelagah tidak mengisytiharkan kerugian mereka.

Angkatan bersenjata mengawal ruang udara di Khartoum, manakala pejuang RSF terus menguasai jalan-jalan di bandar itu.

Lebih 2.8 juta orang sudah meninggalkan ibu kota Sudan, yang penduduknya sebelum perang adalah sekitar lima juta orang. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya