Gempa bumi Maghribi: Hilang keluarga sekelip mata, penduduk sukar terima kenyataan

Gempa bumi Maghribi: Hilang ahli keluarga sekelip mata, penduduk sukar terima kenyataan

PASUKAN tentera mengusung mayat penduduk yang terkorban dalam gempa bumi kuat di Marrakesh. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOULA BRAHIM: Dalam keadaan sugul dan enggan bercakap dengan sesiapa, Lahcen duduk di hujung dispensari kampung di Moulay Brahim di Pergunungan Tinggi Atlas selepas dia kehilangan isteri dan empat anaknya dalam tragedi gempa bumi pada Jumaat lalu.

Insiden yang berlaku terhadap keluarga Lahcen itu menjadi buah mulut penduduk kampung yang terletak kira-kira satu jam perjalanan dari bandar Marrakesh.

“Saya sudah hilang semuanya, isteri dan empat anak saya, saya tidak tahu apa yang harus difikirkan.

“Saya hanya mahu larikan diri daripada semua ini dan bersedih. Adakah ini semua mimpi?,” ujar Lahcen dalam nada suara bergetar.

Setakat ini, pasukan keselamatan masih belum dapat menemukan mayat isteri dan anak lelakinya di bawah runtuhan rumah mereka, manakala tiga mayat anak perempuannya sudah ditemukan.

Ketika gempa bumi berukuran 6.8 skala Richter itu berlaku, lahcen tidak berada di rumah.

Gempa bumi terkuat yang pernah melanda rantau Afrika Utara itu menyaksikan lebih 2,000 orang terbunuh dan 2,059 lagi cedera dengan kebanyakannya parah.

Separuh daripada jumlah kematian, iaitu 1,293 orang terkorban di wilayah al-Haouz yang merupakan pusat gempa tersebut.

Wilayah Moulay Brahim juga merekodkan puluhan kematian dan dijangka jumlah itu bertambah.

Dalam pada itu, pasukan keselamatan menggunakan jentera berat untuk mengalihkan serpihan runtuhan bangunan dan rumah bagi mencari mangsa-mangsa yang terperangkap.

Sejumlah lubang kubur juga digali di kawasan sekitar untuk mengebumikan mangsa-mangsa terkorban.

SEMUA HILANG KELUARGA

Hasna, seorang wanita dalam usia 40-an duduk di sebelah pintu rumahnya dan masih dalam keadaan terkejut.

“Gempa itu amat dahsyat, kami masih terkejut dengan apa yang berlaku.

“Keluarga saya terselamat, namun semua penduduk kampung ini menangisi pemergian anak-anak mereka.

“Hampir kesemua jiran saya kehilangan ahli keluarga dan saya tidak tahu bagaimana untuk gambarkan perasaan ini melihat semua orang menangis dan buntu,” ujarnya.

Sebelum tragedi itu berlaku, Moulay Brahim merupakan rumah kepada 3,000 penduduk.

Seorang lagi penduduk, Lahcen Ait Tagaddirt kehilangan dua saudaranya yang tinggal berhampiran kampungnya.

“Ini semua ketentuan Tuhan dan siapa kita untuk menghalangnya?,” katanya.

GEMPA SUSULAN

Dalam pada itu, seorang pakar gempa bumi Perancis menyatakan gempa yang berlaku di Maghribi itu tidak berlaku di kawasan paling berisiko.

Philippe Vernant berkata, gempa susulan dijangka berlaku dalam masa terdekat dan penduduk perlu diingatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga.

“Kedalaman pusat gempa yang hanya berkedalaman 10 kilometer menyebabkan kesan kemusnahan lebih besar, sekali gus menyaksikan jumlah korban tinggi.

“Semakin cetek kedalaman pusat gempa itu, semakin terus kemusnahan yang akan berlaku,” ujarnya.

Vernant memaklumkan, biarpun gempa susulan yang berlaku selepas ini tidak kuat, namun ia masih boleh meruntuhkan bangunan yang strukturnya sudah pun lemah akibat gempa terdahulu.

SOLIDARITI EU

Kesatuan Eropah (EU) dan negara anggotanya menghantar surat kepada Raja Maghribi Mohammed VI pada Sabtu menyampaikan solidariti dan ucapan takziah selepas gempa bumi dahsyat melanda negara Afrika Utara itu.

Surat yang diketuai oleh Presiden Majlis Eropah, Charles Michel dimulakan dengan ucapan takziah atas kehilangan nyawa yang tragis akibat gempa itu, lapor Agensi Anadolu.

“Kami amat sedih dengan apa yang berlaku dalam peristiwa tragis ini. EU dan negara anggotanya bersolidariti penuh dengan rakyat Maghribi pada saat sukar ini.

“Sebagai rakan rapat dan rakan kongsi Maghribi, kami sedia membantu dalam apa jua cara yang anda anggap berguna,” katanya.

Surat itu ditandatangani oleh Michel, pemimpin negara anggota EU dan ketua Suruhanjaya Eropah, Ursula Von der Leyen.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya