GUADALAJARA: Sekurang-kurangnya lapan orang maut dan dua lagi hilang ekoran hujan lebat yang menyebabkan aliran deras lumpur dari gunung di Mexico.
Menurut pihak berkuasa, mayat beberapa mangsa ditemukan beberapa kilometer di hilir dari lokasi hilang berhampiran Autlan di Jalisco.
“Setakat ini, lapan orang maut dan usaha mengesan dua lagi mangsa masih dijalankan,” jelas jabatan perkhidmatan perlindungan awam Jalisco menerusi kenyataan.
Sementara itu, pegawai perlindungan awam, Juan Ignacio Arroyo Verastegui berkata, penebangan hutan dan kebakaran yang berlaku pada awal tahun ini menjadi punca kerosakan besar di kawasan hutan yang menyumbang kepada banjir kilat.
Puluhan pekerja penyelamat dikerahkan di kawasan itu untuk mencari mangsa yang hilang.
Dilaporkan, Mexico kerap dilanda bencana banjir dan taufan tropika.
Menurut saintis, perubahan iklim meningkatkan risiko hujan lebat memandangkan udara lebih panas menyimpan lebih banyak kelembapan. – AFP