BANGKOK: Anak lelaki Raja Thailand menggesa undang-undang tegas negara itu terhadap penghinaan keluarga diraja dibincangkan secara terbuka selepas topik sensitif itu menyaksikan ratusan orang didakwa sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Anak kedua Raja Maha Vajiralongkorn,Vacharaesorn Vivacharawongse berkata demikian selepas melawat pameran di New York yang menonjolkan orang yang didakwa di bawah undang-undang fitnah diraja Thailand yang ketat.
Undang-undang yang sering dirujuk sebagai 112 selepas seksyen berkaitan kanun jenayah, melindungi raja dan keluarga terdekatnya daripada hampir semua kritikan dan boleh membawa hukuman penjara yang berat.
“Saya hadir sebagai warga Thailand yang mencintai dan menghormati monarki tetapi saya percaya bahawa mengetahui adalah lebih baik daripada tidak mengetahui.
“Semua orang harus berkongsi pendapat mereka berdasarkan pengalaman yang berbeza.
“Disebabkan itu, saya percaya bahawa mendengar mereka adalah perkara yang baik dan mengabaikan pendapat tidak membuatkan mereka hilang,” katanya di laman Facebook.
Pengkritik sekian lama menyifatkan undang-undang tersebut mengekang perbezaan pendapat.
Bantahan besar pada tahun 2020 menyaksikan ribuan menggesa pembaharuan undang-undang tersebut dan seruan sama diperjuangkan Parti Move Forward (MFP) yang memenangi kerusi terbanyak dalam pilihan raya umum pada Mei lalu.
Keazaman MFP untuk merombak undang-undang tersebut akhirnya menyaksikan parti itu disekat daripada mengambil alih kuasa oleh pasukan pro-diraja konservatif di Parlimen.
Pertunjukan ‘Wajah Mangsa 112’ di Universiti Columbia dianjurkan oleh ahli akademik Diraja Thailand dalam buangan, Pavin Chachavalpongpun yang mengesahkan Vacharaesorn hadir sebagai tetamu.
“Beliau berminat dengan isu itu dan beliau berkata, walaupun terdapat perbezaan pendapat dalam isu ini, perlu ada cara yang membolehkan kita berkomunikasi,” kata Pavin.-AFP