JAKARTA: Seorang remaja lelaki dengan inisial CHR berusia 16 tahun ditemukan rentung di Landasan 24, Pangkalan Udara Halim Perdanakusuma, Jakarta Timur.
Remaja itu merupakan anak kepada seorang pegawai tinggi tentera udara Indonesia dan disahkan oleh Ketua Staf Angkatan Udara, Marshal Fadjar Prasetyo.
Ketua Polis Metro Jakarta Timur, Leonardus Simarmata berkata, sejumlah barangan bukti termasuk sebilah pisau ditemukan di tempat kejadian.
“Polis menemukan sebilah pisau, sepasang sandal berwarna biru, sehelai baju dengan kesan terbakar dan seluar juga dengan kesan terbakar,” katanya.
Selain itu, jurucakap hospital Kramat Jati, Hariyanto pula memaklumkan, hasil bedah siasat mendapati ada enam kesan luka di bahagian dada mangsa.
Kesan luka itu menyebabkan pendarahan di bahagian perut.
“Terdapat luka seperti koyakan atau kesan pukul pada bahagian dada mangsa, tiga di kanan dada dan tiga di kiri dada,” ujarnya.
Dalam pada itu, polis menemukan amaran mengenai kematian yang dibuat mangsa menerusi status akaun permainan secara dalam talian, Roblox.
Status itu tertulis ‘Hai, jika anda melihat ini, saya mungkin sudah mati’.
Apa yang mengelirukan, lokasi kejadian merupakan kawasan ketenteraan, sekali gus menjadi kawasan larangan dan bukan semua orang boleh masuk.
Sementara itu, polis juga memaklumkan mangsa merupakan remaja dengan kelainan kurang updaya (OKU) dan kedua orang tuanya dilaporkan sukar untuk memberi keterangan kerana masih terkejut dengan insiden yang berlaku.
“Kita masih melakukan siasatan dalam pelbagai aspek dan kita percaya, maklumat lanjut boleh didapati menerusi ibu bapa mangsa.
“Namun, perkara itu berdepan sedikit kesukaran memandangkan ibu bapa mangsa masih terkejut dengan insiden yang berlaku. Kita beri mereka masa dahulu,” ujar Leonardus.