CIANJUR: Seorang wanita dari Cianjur yang menjadi mangsa pemerdagangan manusia di Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengakui serik dan enggan lagi menerima tawaran bekerja di luar negara.
Ibu kepada dua anak berusia 38 tahun itu mendakwa mahu memulakan kehidupan baru sebagai usahawan di kampung halamannya di daerah Sukaluyu di Jawa Timur selepas dihantar pulang oleh pihak berkuasa Indonesia minggu lalu.
Wanita itu yang hanya dikenali sebagai ID, turut mengingatkan orang ramai supaya tidak cepat terpengaruh dengan tawaran bekerja di luar negara dengan proses cepat dan gaji lumayan bagi mengelak menjadi mangsa pemerdagangan manusia seperti dirinya.
Lapor Kompas.com, ID bersama beberapa pekerja asing lain diselamatkan ketika serbuan di sebuah apartmen di Dubai yang disyaki menjadi sarang pelacuran.
Ketua Polis Cianjur, AKBP Aszhari Kurniawan berkata, kes itu masih disiasat selepas pihaknya berjaya menangkap suspek yang bertindak merekrut mangsa untuk dihantar bekerja di luar negara secara haram.
Penasihat Undang-undang ID, Salatudin turut berterima kasih kepada kerajaan, pihak berkuasa dan media Indonesia kerana bertindak pantas sehingga mangsa dapat diselamatkan dan kembali ke pangkuan keluarganya.
Kes itu menjadi perhatian selepas anak ID memuat naik video di media sosial meminta bantuan polis untuk membawa pulang ibu mereka yang ditahan dan dijadikan pekerja seks oleh sindiket pemerdagangan setelah berlepas ke Dubai