WASHINGTON: Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump enggan menyertai debat Presiden Republikan 2024 kerana mendakwa dirinya sudah cukup dikenali ramai dan digemari pengundi.
Trump berkata, tiada keperluan untuk beliau berhujah dengan pesaingnya dalam sesi debat yang dijadual berlangsung Rabu ini di Milwaukee, Wisconsin.
Jelas Trump, beliau tidak perlu memberi peluang kepada pesaing Republikan untuk menyerangnya memandangkan sudah mendahului dalam tinjauan pendapat.
“Orang ramai tahu siapa saya dan betapa berjayanya saya ketika menjadi Presiden. Oleh itu, saya tidak akan melakukan perbahasan,” kata Trump dalam aplikasi media sosialnya, Truth Social.
Tinjauan dibuat CBS News menunjukkan, 62 peratus responden memilih Trump walaupun berdepan empat pertuduhan mahkamah tahun ini.
Antara pertuduhan tersebut adalah cubaan merancang membatalkan pilihan raya 2020 dan kekal berkuasa meskipun tewas kepada Presiden, Joe Biden.
Dalam tinjauan sama, pesaing terdekat Trump iaitu Gabenor Florida, Ron DeSantis memperoleh sokongan sebanyak 16 peratus.- REUTERS