BANGKOK: Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra dimasukkan ke hospital susulan mengalami masalah kesihatan.
Bekas pemimpin itu dipindahkan ke pusat rawatan berkenaan pada hari pertama menjalani hukuman penjara sejurus kembali ke negara itu semalam.
Jurucakap Jabatan Pemulihan Thailand, Sitthi Sutivong memaklumkan Thaksin, 74, mengalami tekanan darah tinggi, tahap oksigen rendah dan insomnia ketika ditahan di wad perubatan di penjara reman Bangkok.
“Dia menghidap beberapa penyakit yang memerlukan penjagaan khususnya penyakit jantung.
“Wad perubatan di penjara tidak mempunyai peralatan yang diperlukan.
“Atas nasihat doktor bagi mengelakkan risiko yang boleh membahayakan nyawa, Thaksin perlu dihantar ke hospital,” katanya dalam satu kenyataan.
Thaksin pulang ke Thailand pada hari yang sama parlimen Thailand memilih Perdana Menteri baharu negara itu.
Sejurus selepas tiba di Bangkok, bekas perdana menteri itu dibawa ke mahkamah dan diperintah menjalani hukuman penjara.
Mahkamah Agung Thailand menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun ke atas Thaksin atas kesalahan penyalahgunaan kuasa dan konflik kepentingan.
Thaksin pulang ke Thailand selepas 15 tahun hidup dalam buangan. – AFP/AGENSI