Terusan Panama makin cetek akibat El Nino, jejas laluan perkapalan dunia

Terusan Panama makin cetek akibat El Nino, jejas laluan perkapalan dunia

KAPAL melalui Terusan Panama di kawasan Jambatan Amerika di Panama City. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Kejadian cuaca ekstrem yang semakin meningkat dilaporkan memberi kesan terhadap beberapa laluan perkapalan utama di dunia.

Malah, fenomena iklim El Nino yang menyebabkan cuaca lebih panas juga dijangka boleh memburukkan lagi situasi berkenaan.

El Nino terhasil akibat pemanasan luar biasa permukaan laut di tengah dan timur Lautan Pasifik, selain fenomena itu secara lazimnya berlaku setiap dua hingga tujuh tahun.

Kesan El Nino lebih cenderung memuncak pada bulan Disember namun impak penuhnya dikatakan mengambil masa untuk merebak ke seluruh dunia.

Faktor itu menyebabkan pakar klimatologi meramalkan 2024 bakal menjadi tahun pertama apabila suhu purata bumi melepasi had 1.5 darjah Celsius.

Angka 1.5 darjah Celsius itu merupakan simbol rundingan perubahan iklim global dan negara-negara bersetuju untuk mengejar usaha mengehadkan kenaikan suhu global daripada mencecah angka terbabit di bawah perjanjian Paris 2015.

Purata suhu global pada tahun 2022 merekodkan 1.1 darjah celsius, lebih panas berbanding akhir abad ke-19.

Di Panama yang dilanda kemarau berpanjangan, paras air laut semakin surut mendorong negara Amerika Tengah itu mengurangkan bilangan kapal yang melalui Terusan Panama.

Sekatan itu mengakibatkan kesesakan kapal yang menunggu untuk melintasi laluan berkenaan.

Kebanyakan syarikat perkapalan gemar menggunakan laluan terbabit kerana ia mengurangkan masa perjalanan antara Lautan Atlantik dan Pasifik.

Terusan Panama sepanjang kira-kira 80 kilometer (km) merupakan antara laluan air paling penting di dunia.

Pada awal bulan ini, Pihak Berkuasa Terusan Panama (ACP) berkata, langkah itu perlu dilaksanakan disebabkan berdepan `cabaran tidak pernah berlaku sebelum ini’.

Jelasnya, kemarau buruk yang melanda negara itu pada tahun ini tidak pernah terjadi pada masa lalu.

Kesesakan di Terusan Panama berlaku sejurus selepas Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) mengisytiharkan permulaan fenomena El Nino.

Dalam pada itu, ketua penganalisis firma Xeneta, Peter Sands berkata, kesesakan maritim boleh berlaku di mana-mana sahaja.

Namun, kata beliau, hanya kejadian menyebabkan malapetaka besar seperti insiden kapal kontena syarikat Evergreen menghalang Terusan Suez akibat ribut pasir pada 2021 yang mendedahkan kelemahan model penghantaran.

Berhubung isu Terusan Panama, Sands berkata, meskipun pegawai sudah pun mengenakan sekatan ke atas kapal berikutan paras air rendah akibat kemarau berpanjangan, fenomena El Nino memburukkan lagi keadaan.

“Apa yang kita saksikan ketika ini mungkin hanya permulaan masalah bakal melanda tahun depan kerana kemarau boleh menjadi lebih buruk apabila mencecah separuh pertama 2024.

“Buat masa ini, kita tidak nampak bahawa paras air penuh. Jadi, ia adalah bencana berpotensi berlaku,” katanya dengan memetik kesan El Nino.

Sementara itu, syarikat perkapalan Denmark, Maersk berkata, pihaknya `sebahagian besar tidak terjejas’ dengan penangguhan Terusan Panama.

Bagaimanapun, syarikat itu memberi amaran risiko iklim terhadap laluan perkapalan utama semakin berleluasa dengan berpotensi memberi kesan buruk. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN