Taliban larang wanita masuki taman negara Afghanistan

Taliban larang wanita masuki taman negara Afghanistan

LELAKI dan wanita menaiki bot di tasik Band e-Amir di wilayah Bamiyan, Afghanistan.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KABUL: Taliban dilaporkan melarang wanita melawat salah satu taman negara paling popular di Afghanistan, sekali gus menambah senarai panjang sekatan yang bertujuan mengurangkan akses golongan hawa ke tempat awam.

Larangan itu diumumkan selepas Menteri Kebajikan dan Pencegahan Maksiat, Mohammad Khalid Hanafi mengadu bahawa wanita yang melawat taman berkenaan tidak mematuhi cara pemakaian hijab yang betul.

“Pergi bersiar-siar bukanlah satu kemestian bagi wanita,” katanya.

Jurucakap kementerian tersebut, Molvi Mohammad Sadiq Akif menjelaskan, larangan itu termasuk penggunaan pasukan keselamatan, ulama dan golongan dewasa untuk menghalang wanita daripada memasuki kawasan tumpuan pelancong itu.

Beribu-ribu orang melawat taman negara Band-e-Amir setiap tahun, menikmati pemandangan menakjubkan tasik biru nilam dan tebing tinggi di wilayah Bamiyan.

Lokasi tersebut juga merupakan sumber pendapatan penting bagi penduduk tempatan yang menyediakan pelbagai perniagaan selepas diisytihar sebagai taman negara pertama Afghanistan pada tahun 2009.

Pada 2013, taman berkenaan menjadi simbol perubahan yang besar selepas mengumumkan buat pertama kali mengambil empat renjer wanita. 

Pengarah Hak Wanita Human Rights Watch (HRW), Heather Barr menyifatkan larangan itu sebagai alasan untuk terus menyekat hak dan kebebasan golongan wanita di Afghanistan.

Sejak Taliban kembali berkuasa pada 2021, pihak berkuasa menutup kebanyakan sekolah menengah perempuan dan menghalang wanita daripada memasuki universiti mahu pun bekerja.

Puluhan tempat awam, termasuk spa, gimnasium, taman dan salun rambut juga dilarang untuk wanita.

Taliban berpendapat mereka menghormati hak wanita mengikut tafsiran kumpulan itu terhadap undang-undang Islam dan adat resam Afghanistan.

“Ia adalah tempat yang ajaib untuk pergi kerana anda melihat keluarga ketawa, berkelah dan berseronok. 

“Namun Taliban terus merampas keupayaan keluarga untuk menikmati hari bersama-sama, dengan wanita dalam keluarga menjadi sebahagian daripadanya,” katanya.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN