JAKARTA: Parti Amanat Nasional (PAN) mengusulkan nama baharu untuk pakatan parti politik yang menyokong Prabowo Subianto sebagai calon Presiden Indonesia tahun depan.
Ketika ini, pakatan Prabowo melibatkan Parti Gerindra, Parti Kebangkitan Bangsa (PKB), Perserikatan Bangsa-Bangsa (PBB), Golkar dan PAN.
Sebelum ini, nama pakatan parti politik di bawah Prabowo adalah Pakatan Kebangkitan Indonesia Raya (KKIR).
“Kami mencadangkan nama pakatan baharu untuk parti Prabowo adalah Pakatan Indonesia Maju Berdaulat,” kata Ketua Umum PAN, Zulkifli Hasan menerusi kenyataan bertulis.
Katanya, PAN amat menitikberatkan isu kedaulatan sebagai kesinambungan kejayaan pentadbiran Joko Widodo (Jokowi) yang mengutamakan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan infrastruktur.
“Pembangunan yang positif dalam bidang ekonomu dan infrastruktur yang dilakukan dalam Kabinet Indonesia Maju perlu diteruskan untuk kesenangan rakyat.
“Sehubungan itu, barisan pemimpin akan datang perlu sentiasa peka dengan keadaan semasa dan keutamaan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Prabowo juga sekali lagi mengulangi pendiriannya untuk meneruskan daya kerja yang dilakukan oleh pentadbiran Jokowi jika beliau dipilih menjadi Presiden Indonesia dalam Pilihan Raya Presiden 2024.
Katanya, semua program untuk rakyat yang dilakukan oleh kerajaan Jokowi perlu diteruskan dan diperkasakan pada masa akan datang.
“Dengan cara itu, kita dapat kekalkan momentum negara bagi jangka panjang dan rakyat juga akan mendapat faedah yang positif.
“Keadaan global ketika ini tidak stabil, maka kita perlu pastikan semua perancangan yang dilakukan tidak menjejaskan negara dan rakyat,” ujar Prabowo.