SOLO: Seorang penarik beca menjadi mangsa ‘prank’ sedekah palsu yang dilakukan oleh tiga individu menaiki kenderaan di Serengan, Solo, Jawa Tengah.
Kejadian yang menimpa Tukiman, 72, itu berlaku pada Ahad lalu ketika dia menunggu pelanggan untuk menaiki becanya.
Ketika kejadian, lelaki warga emas itu tertidur di atas becanya sebelum dia dikejutkan oleh dua lelaki dan seorang wanita.
Mereka kemudiannya memberikan dia sekeping sampul surat yang didakwa mengandungi duit.
Ketiga-tiga individu itu memberitahu, sedekah itu diberikan oleh ibu bapa mereka.
“Saya menerima sampul surat itu tanpa ada rasa curiga dan berfikir, ini adalah rezeki yang tuhan beri ketika saya menunggu pelanggan menaiki beca.
“Sampul surat itu kelihatan tebal dan saya tidak pernah melihat wang sebanyak itu,” kata Tukiman.
Selepas tiga individu itu beredar, Tukiman membuka sampul surat tersebut dan mendapati ia tidak mengandungi duit, malah sejumlah keratan al-Quran.
Jelas lelaki warga emas itu, insiden tersebut merupakan kali kedua dialaminya.
“Sebelum ini saya juga pernah diberi sampul duit yang didakwa mengandungi wang, namun selepas dibuka, duit tiada, yang ada cuma keratan al-Quran.
“Tidak mengapa, mungkin bukan rezeki saya, namun janganlah guna kertas yang mengandungi ayat al-Quran, jangan cemari kitab suci itu,” ujarnya.